in ,

Operasi premis perniagaan ditambah panjangkan

Kuala Lumpur: Menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 yang berlangsung semalam, telah sama bersetuju untuk menambah panjangkan lagi operasi premis perniagaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri bin Yaakob berkata, masa operasi premis perniagaan seperti kedai runcit, restoran, stesen minyak dan kedai serbaneka dipanjangkan bermula dari jam 6.00 pagi hingga 12.00 malam berkuatkuasa mulai hari ini, 23 September.

“Selain itu, premis perniagaan seperti spa, pusat kesihatan dan urut kesihatan serta pusat pelancongan seperti zoo, akuarium dan taman rimba termasuk aktiviti snorkeling, selam skuba dan memancing dibenarkan beroperasi kepada pengunjung yang lengkap divaksin bermula 1 Oktober ini,” katanya.

Berkaitan kehadiran pekerja bagi setiap premis perniagaan yang dibenarkan beroperasi, Ismail Sabri berkata, mereka dibenarkan hadir dengan kapasiti 100 peratus dengan syarat majikan dan semua pekerja lengkap divaksin.

Menurut Ismail Sabri, mesyuarat itu juga menetapkan bahawa warga asing yang tiba di pintu masuk antarabangsa perlu menanggung kos ujian RT-PCR di pintu masuk negara, manakala bagi warganegara adalah percuma.

“Kelonggaran yang kita kecapi hari ini adalah hasil pengorbanan kita bersama. Saya yakin, dengan adanya kelonggaran-kelonggaran ini, kita dapat mengembalikan kecemerlangan ekonomi negara tidak lama lagi.

“Namun, dalam usaha ini, kita juga hendaklah sentiasa peka dan saling menjaga keselamatan diri dan Keluarga Malaysia,” tambah beliau.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Syarat bagi kebenaran pembukaan semula pelancongan dan merentas negeri

Perbicaraan kes Muhammad Adib tamat hari ini