in ,

Niat hendak beli Rolex, sebaliknya dapat kecederaan dan kerugian RM20,000

Johor Bahru – Hasrat seorang lelaki ingin membeli jam tangan mewah berjenama Rolex bernilai RM45,000 hancur lebur setelah beliau bukan sahaja disamun, malah dipukul oleh sekumpulan lelaki di kawasan Eko Flora Setia Indah, di sini pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (ACP), Raub bin Selamat berkata, pihak polis mengesahkan telah menerima satu laporan polis daripada pengadu berhubung kejadian tersebut.

“Kejadian berlaku apabila mangsa, 38, yang berasal dari Klang, Selangor datang ke Johor bersama rakannya setelah melihat iklan yang menjual jam tangan terbabit dalam Facebook sebelum menghubungi dan membuat janji temu dengan pemilik akaun tersebut.

“Mereka tiba di lokasi yang telah dijanjjikan sebelum menemui dua orang lelaki berbangsa Cina berumur dalam lingkungan 28 hingga 30-an yang tidak dikenali untuk menjalankan urusan pembelian itu di hadapan kedai kosong,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut Raub Selamat, salah seorang suspek meminta mangsa menyerahkan bayaran penuh sebanyak RM45,000 bagi melihat jam tangan berkenaan. Namun, mangsa memberitahu akan membayar RM20,000 secara tunai manakala baki selebihnya akan dibayar secara dalam talian.

“Sejurus mangsa menyerahkan wang berkenaan, seorang lagi suspek bertindak menyembur mata mangsa dengan penyembur lada sebelum rakan suspek melarikan diri.

“Malah suspek juga cuba menyembur mata rakan mangsa namun sempat menahan dengan tangannya dan berlaku pergelutan di antara rakan mangsa dengan suspek,” ujarnya.

Kata beliau, sejurus itu muncul tiga orang lelaki yang tidak pasti identitinya membawa parang serta kayu rotan dan bertindak memukul mangsa sehingga cedera di kepala, lengan dan kaki.

“Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Baru Selatan pada 31 Oktober jam lebih kurang 5.00 petang. Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan,” tambahnya.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

India uji peluru berpandu ICBM jarak jauh 5,000 km

Kes kematian Zulfarhan: 18 tertuduh akhirnya didapati bersalah