in ,

Mira Filzah Beri Semangat Kepada Calon SPM 2020

 

Pernah bergelar pelajar cemerlang ketika Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2010, pelakon, Mira Filzah sempat meluangkan masa menyuntik semangat kepada calon SPM, baru-baru ini.

Muncul sekitar 20 minit dalam talian seminar Last Ultra 100 peratus, kemunculan Mira yang juga duta dan ikon pusat peningkatan akademi yang memberi fokus membantu pelajar SPM, PTTI mencuri tumpuan ramai.

Membahasakan dirinya sebagai Kak Mira, Mira, 27, berkata, dia sedar pandemik Covid 19 yang melanda turut mengendurkan semangat untuk belajar.

Pandemik berkenaan menyebabkan sesi persekolahan terbantut. Peperiksaan termasuk SPM dianjak ke tahun depan dan dijangka berlangsung pada 6 Januari 2021.

Manakala, peperiksaan percubaan SPM pula akan diadakan bulan ini.

 “Kalau stres belajar, jangan paksa diri, berehat seketika. Nak belajar dan buat ulang kaji ini kena tenang. Kalau serabut tak ada guna juga. Nak serap ilmu kena dalam keadaan selesa.

 “Cuba buat perkara yang boleh hilangkan stres atau saat otak tepu. Seimbangkan dengan perkara lain. Saya ada baca komen pelajar yang ikuti seminar dianjurkan siap tulis kalau stres, dia akan tengok drama Korea. Tapi saya balas balik jangan, nanti tengok sampai berjangkit-jangkit banyak episod pula.

 “Jika perlu lelapkan mata atau tidur seketika, lakukanlah. Cuma elak tidur waktu petang selepas waktu Asar. Nanti otak dan badan lagi penat. Kalau penat sangat pejam mata sekitar waktu tengah hari sebelum masuk waktu Zohor,” katanya.

Biarpun sibuk dengan tanggungjawab baru sejak bergelar isteri 3 September lalu di samping komitmen sebagai pengacara rakaman program Nona di TV3, kehadiran Mira dengan gaya polos cukup bermakna buat calon SPM.

Pelakon yang baru muncul dengan drama Bidadari Kiriman Tuhan itu juga,  berharap calon SPM dapat mengelak untuk terus ketagih dengan dunia digital termasuk menggunakan telefon bimbit.

“Belajar untuk jarakkan diri dengan dunia digital. Memang sekarang kita sudah terbiasa memegang telefon bimbit melayari itu ini dan menggunakan pelbagai aplikasi berjam-jam.

“Ambil masa untuk menikmati udara di luar contohnya bersenam. Pada masa sama jaga penjarakan fizikal dan paling mudah buat apa saja benda yang kita gemar,” katanya.

 

Katanya lagi, bagi calon SPM yang beragama Islam, jangan tinggal solat. Begitu juga dengan bangsa lain untuk berdoa dengan Tuhan masing-masing.

“Minta restu ibu bapa. Doa ibu bapa sangat mustajab. Jangan segan peluk mereka dengan kasih sayang untuk beberapa saat,” katanya.

Pemilik nama penuh Nur Amirah Filzah Badioezaman ini juga percaya bahawa kejayaan pendidikan serta ilmu yang ditimba itu bersifat positif.

  “Ilmu dan pendidikan ini sangat luas skop pemahamannya. Pendidikan bukan diukur dengan tahap kelulusan kita perolehi. Sebaliknya ia satu proses berterusan tanpa mengira peringkat umur. Setiap hari menjadi proses belajar benda baru.

  “Ada sijil atau kelayakan ia satu bonus. Tapi realiti sebenar ialah ketika kita berdepan dunia sebenar iaitu pekerjaan. Dalam dunia ini, ada yang belajar tinggi dan sebaliknya. Namun kerjaya yang dipilih belum tentu jadi kayu pengukur tahap pendidikan dimiliki.

  “Namun ada tahap Pendidikan ia dapat membantu dan membentuk kita jadi manusia baik. Macam sebelum ini ada yang skeptikal dengan golongan artis yang tiada latar belakang pendidikan. Itu satu tanggapan salah kerana kebanyakan artis pun ada latarbelakang Pendidikan yang baik. Ia sangat subjektif,” katanya.

Dalam pada itu, berkongsi mengenai peranan dan fungsi Mira sebagai ikon dan duta PTTI, ia bertujuan untuk menggalakkan anak muda menyertai seminar pengajian.

 “Dengan kelompok pengikut saya di media sosial yang kebanyakan juga di kalangan budak sekolah, ia jadi lesen baik untuk mengajak mereka belajar secara dalam talian.

“Melihat testimoni pelajar SPM yang berjaya dengan izinNya menerusi bantuan PTTI, ia satu penanda aras terbaik. Jika selama ini pelajar sekolah memilih belajar sendiri, kenapa tidak menyertai seminar dianjurkan saja.

 “Teknik, tips, cara dan formula diperkenalkan tenaga pengajar di PTTI termasuk Cikgu Fana sendiri cukup efektif selain mudah. Proses memahami sesebuah subjek juga lebih baik.

“Tahun ini pelajar sekolah termasuk calon SPM bergelut sedikit kerana Covid 19. Jangan kecewa dan lemah semangat. Ada hikmah tersendiri kerana masa untuk ulang kaji  lebih banyak,” katanya.

PTTI akan mengadakan Seminar Mampu Skor SPM (Virtual Online) pada 24 Oktober ini  terbuka untuk pelajar SPM 2020 bagi semua aliran.

PTTI akan menaja 3000 tiket percuma bagi pelajar yang tidak yakin akan kemampuan diri untuk skor dlm SPM demi masa depan mereka.

Sebarang keterangan lanjut layari www.MampuSkorSPM.com utk dapatkan tiket percuma.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

NETIZEN CARI PELAKON SENIOR PALING POPULAR 2020

Aktiviti lapangan Banci 2020 diteruskan