Kuala Lumpur – Mesyuarat Majlis Raja-raja Yang Ke-257 yang dipengerusikan oleh Sultan Kedah Darul Aman, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah diadakan di Istana Negara pada 24 dan 25 November telah melabuhkan tirainya.
Memetik kenyataan dikeluarkan Penyimpan Mohon Besar Raja-raja, semua Duli Yang Maha Mulia Raja-raja dan Tuan-tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri telah berangkat hadir di Istana Negara pada kedua-dua hari Mesyuarat Majlis tersebut.
“Majlis telah disembahkan taklimat terkini mengenai pertahanan Negara oleh Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang dan mengenai keselamatan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani bin Abdullah.
“Mesyuarat Majlis turut mendengar taklimat mengenai Rancangan Malaysia Ke-12 dan Kedudukan Semasa Ekonomi Negara oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Sri Mustapa Mohamed bersama dengan Timbalan Ketua Pengarah (Makro), Unit Perancang Ekonomi, Datuk Dr. Zunika binti Mohamed,” kata kenyataan rasmi itu.
Menurut kenyataan tersebut, turut dibincangkan mengenai Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Islam (LEPAI).
“Perkara-perkara mengenai pelantikan Hakim-hakim Mahkamah Atasan, pelantikan Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan Ahli-ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan bersertakan Timbalan Pengerusi dan Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam serta Pengerusi dan Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya juga turut dibincangkan,” tambah kenyataan itu.