in ,

Menyamar pegawai bank lesapkan duit mangsa lebih RM57 ribu

Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kuala Lumpur telah menerima laporan polis daripada seorang lelaki berkaitan kes penyamaran sebagai pegawai bank melalui panggilan telefon, mengakibatkan beliau kerugian sebanyak RM57,850.

Ketua JSJK (ACP), Mohd Mahidisham bin Ishak berkata, mangsa berusia 57 tahun yang bekerja sebagai guru kelas bimbingan tambahan di sebuah institusi swasta itu telah menerima pesanan ringkas (SMS) pada 22 September, untuk mendapatkan pengesahan tentang pembelian melalui platform e-dagang berjumlah RM3,800.

“Namun mangsa menafikan membuat pembelian berkenaan dan telah menghubungi pegawai bank melalui satu nombor telefon yang disertakan pada mesej tersebut.

“Pegawai bank yang telah dihubungi mangsa telah meminta pengadu untuk mendedahkan maklumat akaun bank dan juga kod keselamatan Transaction Activation Code (TAC) kepadanya,” jelasnya.

“Mangsa kemudian telah menuruti arahan daripada ‘pegawai bank’ itu untuk tujuan siasatan lanjut dari pihak bank,” katanya.

Menurut Mahidisham Ishak, pengadu kemudian membuat laporan polis pada 24 September di Balai Polis Sentul, setelah menyedari dirinya ditipu apabila terdapat transaksi pindahan wang dari akaun miliknya kepada tiga akaun pihak ketiga termasuk pindahan kepada akaun e-wallet Touch n Go.

“Jumlah kerugian dialami mangsa berjumlah RM57,850 dan kes disiasat di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan (Tipu).

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa membuat semakan terlebih dahulu apabila menerima pesanan ringkas daripada pihak bank dan tindakan mendedahkan maklumat bank serta kod TAC kepada pihak ketiga akan menyebabkan akaun perbankan terdedah kepada penggunaan tidak sah,” tegas beliau.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Lokman Adam didakwa sebar berita vaksin dan virus COVID-19 palsu

Beribu laporan polis dibuat terhadap ustaz kontroversi