in ,

Mengaku bersalah menipu, bekas pemandu F4 didenda RM308,500

Shah Alam – Bekas pemandu Formula 4 (F4) negara dijatuhkan hukuman denda RM308,500 oleh Mahkamah Seksyen di sini semalam, selepas mengaku bersalah menipu dan memperdaya seorang lelaki berjumlah RM276,900 selama dua tahun bagi memperolehkan kad pengenalan kepada anak angkat mangsa, yang merupakan warga Thailand.

Hakim Rozilah Salleh, memutuskan hukuman denda itu terhadap tertuduh, Eric Louis Pragasam, 24, serta memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama 87 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.


Bagaimanapun, tertuduh memilih untuk mengaku bersalah ke atas 10 pertuduhan pilihan yang dibacakan terhadapnya, sekaligus membayar denda tersebut.

Bagi 22 pertuduhan lain, mahkamah memutuskan Eric dilepas dan dibebaskan setelah mengambil kira dalam menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh di bawah seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.

Rozilah dalam penghakimannya, menegaskan agar tertuduh tidak mengambil mudah menipu orang dan berharap beliau yang masih muda serta mempunyai masa depan yang cerah dapat menjadikan hukuman itu sebagai pengajaran.

“Saya tidak kenakan hukuman penjara namun saya mahu tertuduh tahu ini merupakan satu kesalahan yang serius.

“Kamu pun masih muda. Saya berharap hukuman ini menjadi iktibar untuk memperbaiki diri kamu itu. Saya doakan anda berjaya,” katanya.

Berdasarkan 10 pertuduhan pilihan tersebut, Eric didakwa dengan curang menipu serta memperdaya dua individu, bahawa tertuduh boleh membantu mangsa untuk mendapatkan kad pengenalan dan sijil kelahiran daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Perbuatannya telah mendorong mangsa memasukkan wang tunai berjumlah RM276,900 ke dalam akaun milik tertuduh di tiga cawangan bank berasingan di Kampung Cempaka, Seri Setia dan Kota Damansara antara 3 November 2017 hingga 17 April 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 (Akta 574) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, sekiranya disabitkan kesalahan.

Terdahulu dalam prosiding tersebut, Peguambela, Datuk Salehuddin Saidin memberitahu, anak guamnya telah insaf dan semasa kejadian dia berusia 22 tahun serta tidak dapat berfikir panjang.

“Tertuduh amat menyesal atas perbuatannya dan memohon maaf pada semua pihak,” katanya.

Selain itu, tertuduh yang pernah mewakili negara dalam perlumbaan F4 ketika berusia 12 hingga 19 tahun banyak terlibat dalam program komuniti terutama dalam menghulurkan sumbangan berbentuk wang ringgit mahupun tenaga bagi membantu golongan gelandangan, anak yatim dan sebagainya.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Rangka triceratops terbesar dunia dijual lebih RM31 juta

20 basikal skuad Itali hilang ‘dikebas’ pencuri