in ,

MCA ulangi pendirian sokong Muhyiddin, tidak akan sertai Anwar

KUALA LUMPUR: MCA menegaskan, parti itu tidak akan menyokong ataupun menyertai Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang didakwa mahu menubuhkan kerajaan baharu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Chong Sin Woon, berkata Biro Politik MCA yang dipengerusikan Presiden parti, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, sudah mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, serta semua Presiden parti komponen BN dan bersetuju mencapai kesepakatan itu.

Beliau berkata, MCA juga mengulangi pendirian untuk memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam menerajui kepemimpinan negara, terutama ketika dunia berdepan penularan COVID-19 yang menyebabkan semua sektor ekonomi terkesan.

“Kestabilan politik adalah prasyarat untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi dan menarik lebih banyak pelaburan asing ke Malaysia.

“Adalah wajar bagi semua parti politik menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pemulihan ekonomi dan menghentikan segala percaturan politik yang akhirnya merugikan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Khamis lalu, Anwar yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, mendakwa beliau sudah mendapat perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah, Selasa ini.

Anwar dilaporkan berkata, beliau akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen didakwa menyokongnya sebagaimana dinyatakan pada sidang media beliau, 23 September lalu.

Mengulas lanjut, Sin Woon berkata, pemimpin dan parti politik harus menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, Mei lalu, supaya ahli politik tidak mengheret negara sekali lagi ke dalam kancah politik yang tidak menentu.

-BERITA HARIAN

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Saya ‘kebal’ COVID-19 – Trump

23 pekerja kelab golf positif COVID-19