in ,

Mayat kanak-kanak hilang dibaham buaya ditemukan

Lahad Datu – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan anggota serta pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah selama dua hari berakhir, setelah mayat kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang dilaporkan hilang dalam kejadian serangan buaya di sungai Kampung Bakau Lama, di sini pada Sabtu lalu, ditemukan pagi semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, mayat ditemukan penduduk kampung jam 6.41 pagi dalam keadaan terapung pada jarak 700 meter dari lokasi mangsa dikhuatiri diserang buaya.

“Bahagian kaki kiri mangsa terdapat kesan gigitan, dipercayai akibat dibaham reptilia ganas itu.

“Namun, mayat mangsa masih dalam keadaan sempurna dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurut Sumsoa, dalam insiden berlaku pada 6 November itu, mangsa dipercayai telah diserang buaya ketika sedang mencari udang untuk dijadikan umpan memancing bersama dua rakannya.

“Rumah mangsa terletak di atas air dan ketika kejadian, mangsa dikatakan sedang menangkap udang di bawah rumahnya namun diserang buaya yang muncul secara tiba-tiba.

“Ketika itu, mangsa dikatakan berjaya meloloskan diri dan cuba menyelamatkan dirinya. Namun malangnya, mangsa sekali lagi diterkam sebelum ditarik ke dalam sungai dan hilang,” ujarnya.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Kes kematian Zulfarhan: 18 tertuduh akhirnya didapati bersalah

Vellfire ganti Perdana sebagai kenderaan rasmi Menteri