in ,

Mamat Khalid, seniman tanah air disanjungi meninggal dunia

Ipoh – Jenazah penulis skrip, pengarah dan penerbit filem tersohor, Allahyarham Mamat Khalid yang meninggal dunia pada Ahad, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Paloh, di sini.

Allahyarham Mamat Khalid atau nama sebenarnya Mohamad bin Mohamad Khalid, 58, meninggal dunia kira-kira jam 12.30 tengah malam akibat serangan jantung dan jenazah beliau selamat dikebumikan jam 2.25 petang pada hari sama.


Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa ke kediamannya di Taman Ipoh Jaya Timur 1 dan kemudiannya disembahyangkan di Masjid Jamek Idris Iskandar Shah 1, Sungai Rokam sebelum dikebumikan.

Sekurang-kurangnya 300 hadirin datang memberi penghormatan terakhir buat Allahyarham di tanah perkuburan berkenaan. Antara yang sempat menziarahi Allahyarham di kediamannya ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu termasuk beberapa rakan artis antaranya Datuk Awie, Zul Ariffin, Khir Rahman, Pekin Ibrahim, Nasrizal Ngasri serta Zahiril Adzim.


Menurut anak ketiga Allahyarham, Mohd Khalid Amen, 25, berkata, bapanya sedang membuat persembahan di kafenya, Sarang Art Hub di Tanjung Malim sebelum tiba-tiba rebah tidak sedarkan diri.

“Kami terus menghubungi ambulans namun papa menghembuskan nafasnya yang terakhir ketika dalam perjalanan ke Hospital Slim River. Sebelum itu dia tidak mengadu sakit, tapi papa memang ada sakit jantung.

“Malah, papa merancang untuk mulakan penggambaran telefilem bertajuk ‘Kampung Pisang Berbuah Dua Kali’ pada hujung bulan ini tetapi tidak sempat,” katanya.


Allahyarham Mamat dilahirkan pada 6 April 1963 dan dibesarkan di Sungai Rokam di sini. Adik kepada kartunis popular negara, Lat atau nama sebenarnya Mohammad Nor Khalid telah meninggalkan isteri, Hasmah Hassan bersertakan lima orang anak.

Filem sentuhan Allahyarham berjaya meraih kutipan pecah panggung antaranya Rock Oo!, Man Laksa, Apokalips X dan Hantu Kak Limah Balik Rumah.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sekat kemaraan Hamilton, Verstappen julung kali juarai litar AS

Bekalan elekrik premis judi online dipotong dan diserbu pihak berkuasa