KUALA LUMPUR: Malaysia menyerahkan kepengerusian Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh ASEAN kepada Indonesia, yang akan mengambil alih tugas itu selama dua penggal, bermula tahun ini hingga 2022.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim, berkata Malaysia sudah mempengerusikan mesyuarat itu dari 2018 hingga 2020 termasuk Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh ASEAN ke-26, hari ini.
“Mesyuarat tertinggi kali ini dipertanggungjawabkan untuk menggubal dan membuat keputusan mengenai program dan aktiviti perburuhan berdasarkan kepada ASEAN Social-Cultural Community Blueprint (ASCC) dan ASEAN Labour Ministers’ Work Programme (ALMM) 2016-2017.
“Tema yang dipersetujui ialah ‘Promoting ASEAN Workers for Competitiveness, Resilence and Agility of Future Work’,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat it dan Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh ASEAN Campur Tiga Ke-11 melalui persidangan video hari ini.
Ia dipengerusikan oleh Menteri Ketenagakerjaan Indonesia, Ibu Ida Fauziah.
Awang berkata, mesyuarat turut bersetuju memperakukan Joint Communique: The Twenty Sixth ASEAN Labour Ministers’ Meeting (26th ALMM) dan Joint Statement of the Eleventh ASEAN Plus Three Labour Ministers’ Meeting (11th ALMM+3).