in ,

Malaysia mampu jadi negara pengeluar vaksin sendiri

Kuala Lumpur: Malaysia bakal menjadi negara pengeluar vaksin manusia sendiri dalam tempoh 10 tahun menerusi Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara yang akan dilancarkan dalam masa terdekat.

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pelan itu dikoordinasi melalui kerjasama strategik pelbagai pihak yang merangkumi badan kerajaan, industri, akademia serta masyarakat supaya pendekatan yang lebih menyeluruh dapat dikonsilidasi.

“Sebagai permulaan, sebuah pusat vaksin negara iaitu Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) akan ditubuhkan.

“Inisiatif tersebut perlu disegerakan kerana kerajaan sedar adalah sukar bagi Malaysia untuk terus bergantung serta mendapatkan vaksin daripada negara maju akibat vaccine hoarding (membolot bekalan vaksin).

“Oleh itu, kepakaran dalam negara telah dikenal pasti serta disusun bagi memastikan strategi dan tindakan dapat dilaksanakan berpandukan garis masa ditetapkan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, pada Rabu lalu.

Menurut Adham Baba, tanggungjawab baharu yang diamanahkan kepada MOSTI untuk meningkatkan keupayaan penghasilan vaksin tempatan merupakan sesuatu yang amat perlu pada masa sekarang dan sasaran kerajaan adalah supaya Malaysia mampu menjadi pengeluar vaksin manusia dalam tempoh 10 tahun.

“MOSTI disediakan peruntukan pembiayaan Dana Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) sebanyak RM500 juta dan akan memastikan sebanyak 50 peratus daripada dana tersebut disalurkan bagi kegunaan pembangunan penyelidikan percubaan untuk projek yang berpotensi dikomersialkan.

“Menerusi pelaksanaan perkara berkenaan, perbelanjaan kasar R&D dapat ditingkatkan daripada 1.04 peratus pada tahun 2018 kepada 2.5 peratus menjelang 2025,” katanya.

Tambah beliau, melalui usaha ini lebih banyak syarikat tempatan dapat beralih daripada sekadar pengguna teknologi kepada pembangun dan pencipta teknologi.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

5 penjawat awam antara 7 suspek geng samun berkawan ditahan

Idris sedia ‘lupakan’ Sungai Udang