Madius Tangau Mahu MP UMNO Tarik Balik Sokongan Untuk Bersama PH

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Madius Tangau menjemput mana-mana Ahli Parlimen yang menarik balik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan tidak mempunyai kes mahkamah yang sedang berlangsung untuk bersama Pakatan Harapan (PH) Plus bagi membincangkan dasar alternatif politik negara.

Beliau yang menggesa Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Datuk Seri Nazri Aziz dan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah untuk turut serta dalam perbincangan dasar alternatif Malaysia pasca-Muhyiddin dan pasca-Perikatan Nasional, turut menjemput rakan-rakan lama beliau dalam Barisan Nasional (BN).

“Sama ada kita akan duduk sekali di masa depan (atau tidak), sebagai Ahli Parlimen, kita masih mempunyai kewajipan untuk menawarkan polisi yang berfungsi dan menyeluruh buat berjuta-juta rakyat yang menderita apabila PM menjejaskan mata pencarian mereka hanya untuk menyelamatkan jawatannya.”

Pada masa yang sama beliau turut mahukan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk Jemaah Menteri bayangan dan segera menyusun polisi alternatif pembangkang.

“Mohon pengerusikan mesyuarat pertama Kabinet bayangan PH Plus Rabu depan dalam Zoom.”

“Sudah tiba masanya kita bekerja keras untuk menawarkan dasar dan penyampaian yang lebih baik sehingga kita dapat masuk dari pintu hadapan dengan majoriti yang kuat, hebat, dan meyakinkan selepas pilihan raya umum ke-15.”

Beliau menyifatkan darurat Muhyiddin adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab dan terdesak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *