in ,

‘Maafkan saya warga Melaka atas kesilapan bahasa’ – Teo Nie Ching

Johor Bahru – Dalam keghairahan berkempen melalui media sosial telah mengundang kesilapan bagi Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching apabila beliau menggunakan bingkai gambar profil akaun media sosial mengandungi frasa kurang menyenangkan.

Nie Ching yang juga Setiausaha Antarabangsa DAP memuat naik bingkai dengan frasa ‘Lahabau Melaka, Jom Undi’ di laman Facebook rasminya yang digunakannya untuk poster kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sebelum dipadamkan selepas mengetahui maksud sebenar perkataan tersebut.

Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ‘lahabau’ adalah istilah makian mambawa maksud tidak berguna, tidak boleh diharap serta haprak.

Beliau yang pernah menjawat sebagai Timbalan Menteri Pendidikan kerajaan Pakatan Harapan (PH), menyedari kesilapan itu selepas dikecam oleh netizen dan mengakui tidak mengetahui maksud sebenar perkataan itu.

Nie Ching membuat permohonan maaf secara terbuka, terutama kepada rakyat dan pengundi di Melaka atas keterlanjuran itu menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi miliknya.

“Ramai petugas PH, khususnya DAP, hampir tak cukup tidur dalam usaha menyediakan bahan-bahan kempen. Namun, manusia tidak pernah lepas daripada kesilapan, termasuk diri saya sendiri. Akibatnya, terserlah kesilapan bahasa yang memalukan melalui media sosial.

“Saya cuma ingin berkempen melalui ‘frame’ percuma yang boleh didapati di dalam Facebook tanpa memahami maksud sebenar perkataan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, di laman Facebook miliknya.

Sehubungan itu, Nie Ching membuat permohonan maaf atas kekhilafan menyiapkan dan memuat naik bahan kempen yang telah tersalah menggunakan bahasa.

“Dengan menyusun 10 jari memohon maaf buat semua, terutamanya rakyat dan pengundi Melaka,” pohon beliau.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Singapura tangguh hukuman mati tahanan warga Malaysia

Pulau Perhentian antara dilanda banjir kilat