in , ,

Lokman Adam didakwa sebar berita vaksin dan virus COVID-19 palsu

Kuala Lumpur: Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam didakwa di Mahkamah Seksyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan iaitu menyebarkan berita palsu melalui rakaman audio visual berkaitan vaksin dan virus COVID-19.

Lokman Adam, 48, selaku Orang Kena Saman (OKS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim M. M. Edwin Paramjothy.

Berdasarkan kedua-dua pertuduhan yang dipercayai dilakukan pada 9 April dan 3 Mei lalu, beliau didakwa dengan niat menyebabkan kebimbangan kepada orang awam, dengan menyebarkan berita tidak benar menggunakan media sosial Facebook atas nama profil ‘Lokman Adam’.

Kedua-dua rakaman itu kemudian dilihat di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman masing-masing pada 8.55 malam, 11 April dan 4.40 petang, 9 Mei.

Mengikut pertuduhan pertama serta kedua, Lokman Adam didakwa menyebarkan palsu berkenaan melalui rakaman audio visual tentang kemasukan warga India ke Malaysia yang menjadi punca penyebaran virus COVID-19 dan kematian seorang pegawai polis yang dikaitkan dengan vaksin.

Atas kedua-dua pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pengarah Pendakwaan Negeri Wilayah Persekutuan, Kalmizah Salleh menawarkan jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport OKS diserahkan kepada mahkamah.

Namun Logen Eskander, peguam mewakili Lokman Adam memohon jaminan dikurangkan serta pasport anakguamnya tidak ditahan atas alasan dia perlu menyara isteri dan anaknya termasuk sempadan negara masih belum dibuka.

“Anakguam saya kini tidak bekerja dan membantu isterinya menjual sate, selain masih menanggung 11 orang anak mereka,” kata Logen Eskander.

Selepas mendengar rayuan tertuduh, Hakim Edwin Paramjothy kemudian membenarkan Lokman Adam diikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 November hadapan bagi sebutan semula kes.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Tiada lagi negeri berada di takuk Fasa 1 PPN

Menyamar pegawai bank lesapkan duit mangsa lebih RM57 ribu