in ,

Letusan Gunung Semeru, 14 mangsa disahkan terkorban

Jakarta – Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia memaklumkan pada Ahad, angka korban akibat letusan Gunung Semeru setakat ini telah meragut seramai 14 nyawa.

Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Bencana BNPB Indonesia, Abdul Muhari berkata, 14 mangsa dilaporkan meninggal dunia setakat jam 6.30 petang (waktu tempatan).


“Identiti mangsa meninggal dunia akibat bencana itu sudah dikenal pasti, iaitu 11 orang di daerah Pronojiwo, tiga di Candipuro dan satu mangsa dari Kampung Sumberwuluh. Mangsa lain kini masih dalam proses identifikasi.

“Jumlah mangsa cedera pula keseluruhannya seramai 56 orang. 35 mangsa cedera parah masing-masing dirawat di Hospital Haryoto, Pasirian dan Bhayangkara termasuk Pusat Kesihatan Penanggal. Manakala 21 lagi mangsa dilaporkan cedera ringan,” katanya dalam satu sidang media.

Tambah Abdul Muhari, hamburan abu dan awan panas dari gunung berapi itu telah melitupi lapan daerah serta menjejaskan seramai 5,205 penduduk di kawasan itu.


“Bagaimanapun, hanya 1,300 mangsa memilih untuk berlindung di pusat perlindungan yang disediakan,” jelasnya.

Sebelum ini pada Sabtu 4 Disember, Gunung Semeru yang terletak dalam wilayah Lumajang, Jawa Timur telah meletus, dengan menghemburkan debu panas serta kepulan asap tebal sehingga menyebabkan penduduk setempat bertempiaran lari menyelamatkan diri dan beberapa kawasan lereng gunung diselaputi hujan abu.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

KL City benam JDT di final Piala Malaysia

Sanggup abai SOP demi Hot Wheels