in , ,

Lebuhraya CSR subpakej 5D akan dibuka 7 Oktober ini

Bentong: Projek lebuhraya 4-lorong 2-hala, Central Spine Road (CSR) di kawasan Mempaga, sejauh 28.5 KM yang telah siap, bakal dirasmikan pada 7 Oktober ini.

Menteri Besar Pahang, Dato’ Seri Wan Rosdy bin berkata, CSR merupakan sebahagian daripada subpakej 5C, antara Kampung Asap ke Kampung Sertik dan subpakej 5D yang melibatkan Bentong By-Pass.


“Kedua-dua subpakej itu adalah sebahagian daripada keseluruhan projek CSR bebas tol sepanjang 350 KM antara Kuala Krai, Kelantan hingga ke daerah Bentong, Pahang di sini.

“Kita akan mula buka Bentong By-Pass, laluan menghubungkan dari Bentong ke Lebu kepada orang ramai pada 7 Oktober ini yang dijangka akan menamatkan kesesakan lalu lintas, terutamanya apabila tiba musim perayaan.

“Insya-Allah, dengan siapnya CSR ini bukan sahaja dapat memendekkan masa, mempercepatkan perjalanan serta memberi keselesaan kepada pengguna malah bakal meningkatkan taraf sosio-ekonomi penduduk setempat menerusi penyediaan infrastruktur berkualiti ke kawasan-kawasan terlibat, ” katanya ketika meninjau sendiri lebuh raya itu pada Khamis lalu.


Sebagai rekod, projek lebuhraya CSR merupakan projek bernilai kira-kira RM8.7 bilion dilaksanakan Kerajaan Persekutuan di bawah teraju Barisan Nasional (BN), ketika itu di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Terima kasih Datuk Seri Najib Razak,” tambah Wan Rosdy dalam satu hantaran di laman Facebook milik Najib Razak.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai itu, keseluruhan projek lebuhraya CSR dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2025 seperti disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 baru-baru ini.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sindiket proses dan edar dadah sekitar Lembah Klang serta Perak tumpas

Damok hampir melangkah ke Kejuaraan Dunia Moto3