in ,

Lebih 4 ribu doktor kontrak diberi jawatan tetap menjelang 2022

Kuala Lumpur – Sebanyak RM377,485,890 implikasi tambahan kewangan diperlukan bagi melantik 4,186 doktor kontrak ke jawatan tetap menjelang tahun 2022, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin Abu Bakar.

Khairy menjelaskan, secara keseluruhan seramai 10,583 pegawai perubatan telah menamatkan tempoh khidmat wajib masing-masing.

“Saya tak pasti kalau kita dapat serap semua yang ada di bawah kontrak secara tetap, tetapi kita mula dengan unjuran bilangan doktor kontrak yang diperlukan untuk diberi lantikan tetap.

“Saya pasti dengan unjuran itu, kita akan usahakan supaya dapat kita serap untuk dimasukkan dalam perkhidmatan tetap,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa lalu.

Menurut Ahli Parlimen Rembau itu, seramai 4,186 pegawai perubatan kontrak telah dinilai serta diperakukan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk lantikan tetap. Mereka terdiri daripada  3,586 pegawai perubatan, 300 pegawai farmasi dan 300 pegawai pergigian.

Khairy berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Port Dickson, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang ingin mengetahui apakah implikasi kewangan, sekiranya kerajaan melantik kesemua doktor kontrak ketika ini secara tetap.

Khairy turut menjelaskan, sejak akhir 2016, lebih 24,000 pegawai perubatan latihan siswazah dilantik secara kontrak, namun hanya sekitar 1,000 orang ditawarkan perkhidmatan tetap. Ia adalah masalah legasi lama yang perlu diatasi segera.

Pada Bajet 2022, kerajaan telah bersetuju menyambung pelantikan secara kontrak lebih 10,000 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi selepas tamat tempoh khidmat wajib selama dua tahun kepada maksimum empat tahun.

Pada Julai lalu, ribuan petugas perubatan adakan mogok Hartal Doktor Kontrak bagi mendesak kerajaan supaya melaksanakan pelantikan golongan itu ke perjawatan tetap agar mereka dapat menikmati hak, gaji serta faedah sama rata dengan rakan seperjuangan yang berjawatan tetap.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Anak tergamak bunuh ibu maut dilanggar lori

Seorang pengunjung maut terjatuh buaian berpusing ‘fun fair’