in ,

Lebih 22 ribu doktor kontrak rancang mogok, letak jawatan beramai-ramai

Kuala Lumpur – Gerakan Hartal Doktor Kontrak merancang akan melakukan peletakan jawatan secara besar-besaran menerusi siri mogok kedua di seluruh negara pada Disember hadapan, sekiranya baki 22,288 doktor ber­ke­naan tidak diserapkan ke jawatan tetap oleh kerajaan.

Jurucakap Hartal Doktor Kontrak, Dr. Muhammad Yassin berkata, pihaknya akan menggerakkan doktor kontrak yang terjejas atau belum ‘diiktiraf’ dengan membawa plakad bermesej ‘Letak Jawatan Beramai-ramai’ sebagai isyarat protes simbolik.

“Ini akan disusuli dengan peletakan jawatan beramai-ramai doktor kontrak pada bulan yang sama,” jelasnya.


Memetik laporan The Star, Dr. Muhammad berkata, protes kali kedua itu akan sama seperti yang telah dianjurkan pada Julai lalu dan dirancang berlangsung kira-kira 30 minit hingga satu jam.

“Kami akan mengadakan sidang akhbar pada minggu ini bagi menjelaskan butiran lanjut mengenai protes itu,” kata Dr Muhammad.

“Saya rasa jika kita kekal di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tetapi masih dalam kontrak, sukar untuk kita bergerak ke hadapan dan menerima peluang sama seperti kakitangan tetap.

“Masa depan kita menjadi tidak menentu. Jadi lebih baik kita pergi,” katanya.


Menurutnya, mogok yang dirancang itu tidak mungkin mengganggu sistem penjagaan kesihatan di hospital kerajaan, seperti yang dinyatakan semasa perhimpunan pertama.

“Adalah menjadi tanggungjawab kami untuk menjaga pesakit dan memastikan rawatan mereka tidak terganggu. Tiada apa-apa yang tidak diingini berlaku semasa protes kami sebelum ini,” katanya.

Pergerakan itu menganjurkan protes kedua, kerana kecewa dengan layanan kerajaan terhadap doktor kontrak di negara ini dan merasakan kerajaan tidak menangani isu tersebut dalam Bajet 2022.

Di bawah Bajet 2022, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM100 juta untuk menaja 3,000 pegawai perubatan dan pergigian kontrak bagi mengikuti latihan kepakaran serta melanjutkan kontrak mereka daripada dua hingga empat tahun.

Dr. Muhammad berkata pergerakan itu akan terus berhubung dengan KKM, Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam untuk mencari penyelesaian terhadap isu berkenaan sehingga tarikh bantahan tiba.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Arak kontroversi kekal guna jenama Timah di pasaran

Pesawat pejuang terhempas, seorang anggota TUDM dikhuatiri maut