in ,

Lantik segera ahli Jawatankuasa PAC – Kah Woh

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun disaran memastikan pelantikan Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) disempurnakan pada hari pertama sidang Parlimen bermula.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, berkata ia penting bagi memastikan jawatankuasa berkenaan dapat berperanan semula selepas tertangguh sejak Mac lalu.

Kah Woh yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur, berkata beliau sudah menulis surat kepada Azhar pada minggu lalu berkenaan permohonan untuk segera melantik ahli PAC.

“Saya berharap Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Jawatankuasa Pilihan Parlimen dapat memandang serius perkara ini dan masalah yang dihadapi oleh PAC sekarang.

“Walaupun Pengerusi dan Timbalan Pengerusi PAC sudah dilantik dalam sidang Parlimen pada 27 Ogos lalu, mesyuarat PAC yang tergendala sejak Februari masih tidak dapat dijalankan memandangkan ahli PAC masih belum dilantik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kah Woh berkata, Parlimen tidak seharusnya melengah-lengahkan dalam pelantikan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi PAC, yang mana PAC mungkin ‘dicutikan’ sehingga November sekiranya pelantikan ditangguh.

“PAC perlu menebus semula waktu yang hilang. Sejak beberapa minggu lalu, saya bersama Sekretariat PAC sudah berbincang berkenaan dengan kes tertangguh dan mengatur jadual PAC untuk bermesyuarat sejurus selepas Parlimen bersidang semula dengan pelantikan ahli-ahli PAC,” katanya.

Beliau berkata, taklimat pertama PAC dijadualkan pada 3 November iaitu hari kedua sesi Parlimen dan disambung dengan urusan lain.

“Kita berhasrat untuk membentangkan satu laporan PAC pada minggu pertama Parlimen dan satu lagi laporan PAC pada minggu kedua,” katanya.

Katanya, PAC yang efektif dan efisien adalah penting untuk Parlimen dalam memainkan peranannya untuk semak dan imbang pentadbiran eksekutif.

“Justeru, penting dan perlu untuk Yang Dipertua Dewan Rakyat memastikan pelantikan Ahli PAC dapat disempurnakan pada hari pertama sidang bermula,” katanya.

-BERITA HARIAN

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Thailand, China meterai perjanjian projek kereta api berkelajuan tinggi

Dua usul undi percaya kepada PM tersenarai dalam aturan mesyuarat