Laman Web Konsep DIY Pertama Keluaran Tempatan Cipta Sejarah

Muhammad Arash ketika menyampaikan taklimat mengenai laman web konsep DIY.

Amat membanggakan apabila syarikat teknologi dan perisian digital pertama di Malaysia, Tronserve (M) Sdn Bhd baru-baru ini memperkenalkan laman web berkonsepkan DIY (do it yourself) serta aplikasi mesyuarat maya, Link pertama di Malaysia. 

Menariknya mengenai laman web yang dibangunkan oleh rakyat tempatan di platform Tronserve ini, ia menyediakan pelbagai tawaran menarik seperti membina komuniti, peluang pekerjaan serta pengajian secara online.

Malah kemunculan Link turut mencipta satu fenomena baharu apabila kehadirannya memberi kemudahan kepada rakyat Malaysia untuk mengadakan sebarang mesyuarat atau interaksi secara maya apabila hampir seluruh dunia kini berdepan pandemik Covid-19 hingga ada yang bekerja daripada rumah.

Muhammad Arash ketika menyampaikan taklimat mengenai laman web konsep DIY.

Menurut Ketua Pegawai Pemasarannya, Arash Abdullah pelancaran dua platform terbaru ini dilihat sebagai satu kemudahan baru bagi memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk maju ke hadapan dalam mendepani Revolusi Perindustrian Keempat atau Industri 4.0 (IR 4.0) yang kini giat dibicarakan oleh pelbagai pihak. 

“Suka atau tidak, sekarang atau nanti, masanya sudah tiba untuk kita menyesuaikan diri dalam mendepani gelombang perubahan kepada gaya hidup dan cara kita bekerja. 

“Ditambah pula dengan pandemik Covid-19, platform yang disediakan ini bakal membantu rakyat Malaysia untuk menjadi individu yang lebih maju serta mahir dalam IT,” katanya ketika pelancaran platform itu, baru-baru ini.

Menurutnya, laman sesawang berkonsep DIY yang ditawarkan ini turut menampilkan beberapa cabang menarik seperti mencipta satu komuniti baru yang dapat menarik lebih ramai badan korporat dan individu menyertai dan mengembangkan idea di dalam satu platform.

Pengasas Tronserver, Datuk Allan Goh (dua kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Tronserver, Dr Keith Ooi Kuan Keat (dua kanan), Ketua Pegawai Pemasaran Tronserver, Muhammad Arash Abdullah (kanan) dan International Protokol PDRM Bahagian Lawatan VIP dan Pameran, Inspektor Shahira Najia Binti Datuk Mohamad Jamil (kiri) menunjukkan laman web Tronserve pada Pelancaran Laman Web Konsep DIY.

Selain itu katanya, laman web ini turut memberi peluang pekerjaan bagi membantu syarikat dan rakyat yang saling mencari pekerja dan pekerjaan dengan lebih mudah dan berkesan.

Menerusi platform yang disediakan ini juga, khalayak boleh menimba ilmu apabila ia memberi ruang kepada tenaga pengajar dan pelajar bertukar bahan pelajaran secara atas talian.

“Tidak ketinggalan, cabang lain yang dicipta adalah seperti platform E-Dagang untuk membantu SME menjalankan perniagaan ‘offline’ ke ‘online’ serta direktori perindustrian iaitu meningkatkan imej SME dengan memudahkan pelanggan berpotensi untuk mencari maklumat syarikat. 

“Jadi laman web berkonsep DIY yang ditawarkan ini memberi segala kemudahan dan akses dalam satu laman web kepada masyarakat selain lebih berdaya saing dalam mengetuai apa-apa tugasan dengan strategik,” katanya.

Jelasnya, platform mesyuarat maya yang dibangunkan kepada rakyat Malaysia ini dilihat adalah masa yang tepat untuk digunakan apabila kebanyakan syarikat tempatan meminta pekerja mereka untuk bekerja daripada rumah. 

Link katanya, turut mampu menghubungkan antara majikan dan pekerja dengan mudah dan pantas selain menjamin keselamatan data setiap individu daripada tersebar.

Dalam pada itu, melihat ramai individu yang terjejas teruk susulan pandemik Covid19 sehingga ada yang dibuang kerja, Tronserve turut tampil memperkenalkan ‘Referral Program’ iaitu menjana pendapatan tambahan serta meningkatkan pasif aliran tunai kepada syarikat dan individu. 

Tawaran ini diberikan kepada rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan terutamanya disebabkan oleh wabak yang melanda ini selain ingin mengajak selebriti serta penggiat seni untuk menyertai program ini kerana menjanjikan ganjaran wang tunai yang lumayan.    

Isz Yusliza – Penulis Rencana BIGBLUETV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *