in ,

Lagu Cinta Kita musim kedua gandingkan Elly Mazlein, Michael Ang dan Azwan Ali sebagai pengacara

Kembali dengan musim kedua, program realiti Lagu Cinta Kita menampilkan Elly Mazlein, Michael Ang dan Azwan Ali sebagai pengacara.

Diadaptasi daripada program popular CJ ENM, ‘Love At First Song’, program ‘music dating’,  Lagu Cinta Kita versi Malaysia bakal bersiaran secara langsung di TV3 bermula 8 November ini, setiap hari Ahad, jam 9.00 hingga 11.30 malam dan ditayangkan selama 8 episod.

Jika pada musim pertama program ini menobatkan Naqi Nasri dan Nur Ayuni Sapuan sebagai juara sehingga keserasian mereka berjaya wujud dan membibitkan perasaan cinta sehingga ke jinjang pelamin.

Siapakah pasangan duet yang bakal disatukan dalam musim ke-2 ini nanti?

Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Khairul Anwar Salleh, berkata, Lagu Cinta Kita bakal menampilkan peserta yang sangat sesuai untuk disatukan dan dipertemukan melalui pilihan lagu yang sesuai dengan personaliti mereka.

“Dalam usaha memangkinkan kisah cinta melalui lagu, kita juga menjemput ramai selebriti tempatan untuk mengambil tempat sebagai panelis cinta secara langsung di TV3.

Saya pasti rancangan ini akan berjaya menjodohkan lagu dan cinta di antara dua insan,” katanya.

Program ini masih mengekalkan Hael Husaini sebagai juri tetap dan dia bakal bersama-sama dengan gandingan baharunya, Mas Idayu.

Mereka berdua akan ditemani oleh seorang juri jemputan pada setiap episod.

Selain itu, Lagu Cinta Kita Ke-2 juga akan menampilkan selebriti popular yang berlainan pada setiap episod.

Setiap selebriti akan menggalas tugas sebagai panelis cinta untuk memberi komen tentang keserasian dan berkongsi kisah cinta romantis sendiri dengan pasangan berduet.

Lebih menarik lagi, penonton juga akan dihiburkan dengan persembahan istimewa oleh penyanyi popular tanah air sepanjang siaran lapan episod ini.

Lagu Cinta Kita Ke-2 menampilkan 36 orang peserta yang akan dipadankan kepada 18 pasangan duet. Seperti musim lalu, peserta tidak akan mengetahui siapakah pasangan duet masing-masing sehingga berada di atas pentas.

Pencarian peserta musim kedua sudah berlangsung secara atas talian pada 1 hingga 15 Oktober lalu. Ia terbuka kepada warganegara Malaysia yang masih bujang, berumur antara 18 hingga 35 tahun dan berbakat dalam nyanyian.

Satu bonus kepada mereka yang pandai bermain alat muzik dan bagi yang berminat harus muat naik video uji bakat iaitu nyanyian berdurasi selama 1 minit di akaun Instragram masing-masing dengan menggunakan #LaguCintaKita2.

Hanya 100 peserta disenarai pendek daripada jumlah penyertaan di atas talian untuk hadir ke sesi uji bakat tertutup.

Pada pusingan awal, 36 peserta akan dipadankan mengikut giliran iaitu 6 pasangan (episod 1), 6 pasangan (episod 2) dan 6 pasangan (episod 3).

Peserta memilih lagu mengikut urutan yang ditetapkan oleh juri tetap berdasarkan vokal mereka. Kemudian, peserta dipadankan dengan pasangan duet mengikut pilihan lagu yang sama.

Di awal persembahan, mereka akan bernyanyi di dua pentas yang berbeza. Mereka memerlukan undian penonton rumah untuk mengalihkan dinding pemisah di antara pentas mereka. Ketika itu barulah peserta dapat melihat siapakah pasangan duet mereka.

Selepas itu, persembahan mereka perlu mendapatkan undian daripada kesemua juri supaya pentas dicantumkan dan mara ke pusingan seterusnya.

Hanya 10 pasangan duet akan meneruskan perjalanan ke episod ke-4, ‘Love Camp Song’. Mereka akan diberikan peluang untuk mengenali sesama sendiri dalam pelbagai aktiviti yang disediakan.

Mereka juga akan diberikan tugasan yang menguji keserasian dan sekaligus dapat mengeratkan lagi hubungan antara peserta. Setiap pasangan duet juga akan diberikan tajuk lagu yang akan dipertandingkan di pentas Lagu Cinta Kita Ke-2.

Bermula peringkat ini, penilaian persembahan terletak di tangan panel juri sepenuhnya. Satu pasangan duet akan disingkirkan dalam episod ini.

Memasuki episod ke-5 dan ke-6, sembilan pasangan yang masih bertahan akan berhadapan dengan ujian yang lebih getir dimana mereka akan membuat persembahan mengikut tema mingguan yang ditetapkan.

‘Cinta Sepanjang Zaman’ yang fokus kepada seleksi lagu cinta popular di era tahun 60an hingga 90an dan ‘Cinta Antara Benua’ yang akan membawa penonton mengimbau lagu-lagu romantis dari Malaysia, Indonesia, Korea Selatan dan lain-lain.

Di peringkat ini, sudah tentu peserta yang masih bertanding mahu kekal dengan pasangan duet masing-masing kerana keserasian yang sudah tercipta.

Tujuh pasangan duet yang bakal bertanding di pusingan separuh akhir. Selepas itu, hanya lima pasangan yang akan berentap di pusingan akhir yang dijangka berlangsung pada 3 Januari depan.

Juara Lagu Cinta Kita Ke-2 bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM 50,000, manakala tempat kedua berjumlah RM 30,000, tempat ketiga berjumlah RM 20,000, tempat keempat berjumlah RM 15,000 dan tempat kelima berjumlah RM 10,000.

 

 

 

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fara Hezel kongsi nama dan wajah anak

Konsert minggu ketiga GV7 tiada penyingkiran