in ,

KPDNHEP keluar notis kepada pemilik restoran ‘siakap kayangan’

Alor Setar – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengeluarkan notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Anti Percatutan 2011 kepada pemilik restoran terapung di Langkawi, di sini pada Sabtu lalu.

Ketua Pegawai Penguatkuasaan KPDNHEP Kedah, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, notis itu perlu dijawab dalam tempoh lima hari, iaitu sebelum Khamis ini bagi mengelak sebarang tindakan sekiranya pemilik restoran berkenaan gagal berbuat demikian.

“Kita beri tempoh lima hari untuk pemilik restoran berkenaan menjawab beberapa perkara di dalam notis itu, antaranya berkaitan kos ikan siakap, makanan dan apa-apa yang ada dijual di situ.

“Setakat ini kita masih menunggu maklum balas daripada pemilik restoran tersebut. Buat masa sekarang kita tidak boleh kata salah atau tidak, sebaik sahaja kita terima notis itu kita akan analisa setiap kos yang diberikan secara terperinci samada berlakunya kenaikan harga tidak munasabah atau sebaliknya,” katanya.

Sebelum ini tular di media sosial, dakwaan sekumpulan pelancong yang makan tengah hari di sebuah restoran terapung di Langkawi dikejutkan dengan harga ikan siakap yang didakwa terlalu mahal.

Berdasarkan satu gambar resit yang dimuat naik seorang pengadu di laman sosial, ikan siakap seberat 7.48 kilogram yang dipesannya berharga RM1,196.80 dan jumlah keseluruhan bil dimuat naik pelanggan berkenaan termasuk hidangan makanan dan minuman lain adalah RM1,759.50 untuk tujuh orang makan.

Mohd Shahran berkata, sehingga kini hanya satu aduan berkaitan diterima pihaknya dan meminta pengguna yang mengalami situasi yang sama terus membuat laporan kepada KPDNHEP.

“Pengguna perlu membuat pilihan yang bijak serta membandingkan harga sebelum membuat pilihan barang atau makanan.

“Sekarang kita sedang lancarkan Ops Menu, operasi ini bukan sahaja kita fokus kepada harga pada menu tetapi juga kepada alat timbangan sama ada alat itu masih sah atau tidak,” ujar beliau.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Vellfire ganti Perdana sebagai kenderaan rasmi Menteri

Singapura tangguh hukuman mati tahanan warga Malaysia