in ,

KP JAKIM meninggal dunia

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Paimuzi Yahya meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh kira-kira jam 1 tengah hari tadi.

Unit Komunikasi Korporat JAKIM dalam kenyataan berkata, Allahyarham Paimuzi, 59, meninggal dunia akibat komplikasi jantung dan paru-paru.

“Jenazah akan dibawa pulang ke rumah beliau di Kuang, Selangor untuk urusan pengebumian pada petang ini.

“Semoga roh al-marhum dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan yang beriman. Al-fatihah,” menurut kenyataan itu.

Semalam, JAKIM dalam satu kenyataan memaklumkan Paimuzi bebas daripada wabak COVID-19.

Menurut JAKIM, Paimuzi menjalani pemeriksaan saringan COVID-19 pada 6 Oktober lalu di Hospital Sungai Buloh dan keputusannya negatif.

“Memandangkan faktor sejarah kesihatan yang kurang memuaskan, pihak hospital mencadangkan supaya beliau ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) bagi mendapatkan rawatan susulan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary, di Facebook, turut memaklumkan pemergian Paimuzi.

“Telah kembali ke rahmatullah sekejap tadi Ketua Pengarah JAKIM, Dato Paimuzi Yahya di Hospital Sungai Buluh.

“Semoga Allah merahmati dan mengampuni beliau, memberikan ketabahan buat seluruh ahli keluarganya serta keluarga besar JAKIM, seorang yang sangat baik setakat saya kenali.

“Satu kehilangan besar buat negara kita,” katanya.

-BERITA HARIAN

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Dua pegawai polis didakwa rasuah

10 polis ditahan, RM100,000 dirampas