KUALA LUMPUR: Langkah mengubah konsep Kool FM menjadi platform untuk pendengar berdebat dan berbincang isu semasa termasuk masalah rakyat, mencapai sasaran apabila stesen radio popular itu muncul ‘Talk Radio Nombor Satu Berbahasa Melayu’ di Malaysia.

Selepas hampir 11 bulan ke udara dengan konsep baharu, Kool FM yang membawa slogan ‘Suara Semasa’, kini menjadi stesen radio pilihan pertama untuk isu semasa.

Atas sambutan memberangsangkan, konsep baharu yang diperkenalkan stesen radio milik Media Prima Berhad (MPB) itu sejak Januari lalu, dilihat semakin mendapat tempat di hati pendengar.

Kajian terbaru dikeluarkan GfK Radio Audience Measurement Survey (RAM) menunjukkan berlaku peningkatan pendengar mingguan Kool FM sebanyak 92 peratus.
Kajian itu mendapati berlaku peningkatan terhadap jumlah pendengar mingguan Kool FM kepada 701,000 orang.

Ketua Audiens Melayu, Kool FM, Shah Hayatudin, berkata penerimaan pendengar terhadap konsep baharu yang diperkenalkan cukup mengujakan stesen radio itu.

“Pendengar kami menerima baik perubahan yang dibawa Kool FM terutama daripada segi kandungan dan format yang diaplikasikan tahun ini.

“Dengan cara ini, kami dapat menghargai serta mendengar suara pendengar dengan menyediakan platform untuk berdebat dan berbincang mengenai isu semasa serta masalah yang dihadapi masyarakat,” katanya kepada BH Online.

Kool FM diterajui oleh AG, Haiza dan Muaz yang mengendalikan segmen pagi. Trio ini menemani pendengar dengan mengetengahkan isu semasa, nasional dan dunia.

Shah berkata, sesuai peredaran zaman, Kool FM disiarkan secara langsung dalam pelbagai platform antaranya YouTube Kool TV, aplikasi di telefon, MyTV dan terbaru, JOOX.

“Dengan platform yang ada, ia dapat memudahkan pendengar melayan saluran radio kami tidak kira di mana saja mereka berada,” katanya.

Shah berharap dengan pembaharuan diperkenalkan termasuk kemudahan menikmati Kool FM dalam pelbagai platform dapat menarik lebih ramai lagi pendengar dengan kandungan yang dibawa.

“Pada masa sama, ia dapat mengembangkan lagi konsep ‘Talk Radio’ sekali gus diterima lebih baik lagi oleh segenap lapisan masyarakat,” katanya.

Shah berkata, pemilihan tajuk perbincangan dan tetamu bagi segmen temu bual juga bertepatan dengan sasaran usia pendengar dan keadaan semasa yang berlaku dalam atau luar negara.

“Ini bertujuan membolehkan maklumat dan info terkini disampaikan dan diperjelas kepada pendengar.

“Sejajar dengan itu, jumlah pendengar mingguan Kool FM yang berusia 25 tahun juga memperlihatkan penambahan sebanyak 231,000 orang atau 104 peratus.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan pendengar mingguan berusia 25 tahun ke atas adalah sebanyak 454,000 orang,” katanya.

Kool FM diterajui oleh AG, Haiza dan Muaz yang mengendalikan segmen pagi. Trio ini menemani pendengar dengan mengetengahkan isu semasa, nasional dan dunia merangkumi topik polisi, teknologi, sukan, gaya hidup, kesihatan dan isu komuniti pada setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 6 hingga 10 pagi.

Rea pula akan meneruskan perjalanan Kool FM dengan pengisian topik gaya hidup, isu viral, motivasi dan hiburan dari jam 10 pagi hingga 3 petang.

Ini diikuti segmen kendalian Izwan Azir dari jam 3 petang hingga 7 malam yang akan membincangkan isu nasional, dunia, keusahawanan, sukan dan hiburan dengan gaya yang lebih santai dan bersahaja.
Sementara itu, dari jam 7 malam hingga 8 malam, Kool FM merehatkan minda pendengar dengan tazkirah Maghrib daripada ustaz jemputan menerusi Refleksi Kool.
Ini diikuti seleksi lagu terbaik dari era 1960-an hingga 1990-an dan terkini yang mula menemani pendengar dari jam 8 malam hingga 12 tengah malam.

Fizz Aziz

By Fizz Aziz

Editor at Big Blue TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *