in ,

Konsert Gegar Vaganza (GV7) diteruskan walaupun tanpa penonton

Konsert Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) akan diteruskan seperti biasa meskipun dalam tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor yang berkuat kuasa bermula 14 hingga 27 Oktober ini.

Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal berkata, Astro mengambil keputusan untuk meneruskan pertandingan nyanyian GV7 seperti yang sudah dijadualkan tetapi tanpa kehadiran penonton seperti kebiasaannya.

Ini bagi mematuhi garis panduan dan syarat SOP pihak berkuasa sepanjang tempoh PKPB.

Dengan keputusan itu, penganjuran dua konsert mingguan yang kebetulan jatuh ketika tempoh fasa PKPB sedang berlangsung iaitu konsert minggu kedua pada 18 Oktober dan minggu ketiga pada 25 Oktober ini akan tetap bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) seperti biasa.

Namun begitu, hanya krew produksi dan tenaga kerja yang berdaftar sahaja akan dibenarkan berada di lokasi untuk mengawal jumlah bilangan kehadiran pada satu-satu masa.

Sebarang perubahan mengenai penganjuran untuk konsert minggu keempat dan seterusnya akan diumumkan dari semasa ke semasa, tertakluk kepada perkembangan situasi semasa wabak Covid-19 serta kelonggaran yang diberikan oleh pihak berkuasa, sekiranya ada,” katanya.

Emarina berkata, Astro juga ingin menyeru kepada orang ramai supaya terus mematuhi SOP yang ditetapkan kerana tangggungjawab, disiplin serta pematuhan masyarakat amat penting bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di negara ini.

Terima kasih sekali lagi kami ucapkan kepada semua pihak terutamanya pihak media yang terus memberikan sokongan tanpa henti kepada kami selama ini. Tanpa anda semua, fenomena ‘GV’ tidak akan sehebat sekarang,” katanya lagi.

Konsert GV7 mula bersiaran sejak Ahad lalu di saluran Astro Ria bermula jam 9 malam. Konsert itu membabitkan 14 peserta yang terdiri daripada solo dan berkumpulan.

 

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Neelofa ajak orang ramai sokong peniaga kecil

Bekas pesakit COVID-19 dijemput sertai penyelidikan perubatan