in ,

Konsert 4G’s diteruskan Disember ini di Istana Budaya

Konsert 4G’s yang menampilkan Tomok, Hazama, Akim dan Black akan diteruskan di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur, pada Disember depan selepas lapan bulan tertangguh berikutan penularan Covid-19.

Konsert yang akan berlangsung selama dua hari bermula 11 Disember itu akan dipentaskan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ia bakal diteruskan bagi menunaikan janji kepada peminat yang sudah membeli tiket.

Ketua Eksekutif Belbis Sdn Bhd, Fandy Alias, berkata pihaknya tidak mahu lagi ‘berhutang’ dengan peminat.

“Kami berharap konsert ini tidak lagi ditangguhkan. Peminat juga sudah mula bertanya.

“Apatah lagi, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia adalah rakan rasmi projek ini dan kami sudah mendapatkan kelulusan MKN,” katanya.

Fandy berkata, peminat yang sudah membeli tiket tetapi mahu memulangkannya, mereka tidak dihalang.

“Syarikat sudah mengedarkan borang kepada pembeli tiket menerusi e-mel dan memberi tempoh dua minggu untuk membuat permohonan.

“Setakat ini, tidak ramai pembeli tiket meminta wang dikembalikan kecuali peminat dari Singapura dan Brunei,” katanya.

Katanya lagi, pihaknya tidak mahu mengambil kesempatan ke atas mereka yang sudah membeli tiket. Malah akur apabila tidak dapat membawa ramai peminat menyaksikan konsert berkenaan.

“Bagi mematuhi SOP, hanya 450 penonton dibenarkan untuk satu sesi pada satu malam,” katanya.

Biarpun tidak balik modal, penganjur berkenaan akan memastikan mutu konsert terjamin.

 

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Agong tidak isytihar darurat, peguam saman kerajaan

Dolla harap yang terbaik untuk single Impikan