in ,

Kes mahkamah syariah sepanjang PKPB dijadualkan semula

SHAH ALAM: Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) memaklumkan semua kes di mahkamah syariah di seluruh negeri yang ditetapkan pada 28 Oktober hingga 9 November depan akan dijadualkan semula.

Unit Komunikasi Korporat (UKK) JAKESS, berkata penjadualan itu selaras Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor dalam memastikan penjarakan fizikal di premis mahkamah syariah.

“Justeru, pihak mahkamah akan menghubungi pihak yang terbabit dengan kes yang dikenalpasti untuk diteruskan pendengarannya sepanjang tempoh PKPB berkuatkuasa.

“Selain itu, proses wakalah, afidavit, majlis sulh, sebutan kes dan perbicaraan akan dilakukan menerusi sidang video dengan permohonan dan persetujuan bersama plaintif dan defendan manakala perkhidmatan rundingcara dilaksanakan secara dalam talian telefon,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dalam kenyataan itu, UKK JAKESS turut memaklumkan, perkhidmatan pendaftaran kes baharu tanpa janji temu di kaunter mahkamah terhad kepada pendaftaran kes mendesak.

Jelasnya, kes berkenaan adalah seperti keganasan rumah tangga, penderaan, pengesahan lafaz cerai di luar mahkamah, permohonan wali raja atau merekodkan persetujuan.

“Ia termasuk kes lain adalah mempunyai tempoh had masa seperti pemfailan notis rayuan dan semakan.

“Orang ramai boleh merujuk garis panduan operasi JAKESS sepanjang PKPB di laman sesawang www.jakess.gov.my,” katanya

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Malim gunung berkebun tampung keperluan keluarga semasa PKPB

PKPB: JAIS benarkan akad nikah di pejabat agama daerah