in ,

Kes kematian Zulfarhan: 18 tertuduh akhirnya didapati bersalah

Kuala Lumpur – Seramai 18 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh dan mencederakan Pegawai Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain, empat tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah memutuskan, mereka yang sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, disabitkan bersalah di bawah Seksyen 299 dan dihukum mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.

Enam tertuduh itu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Bukti menunjukkan keenam-enam tertuduh didapati bersalah kerana membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Manakala Mahkamah mendapati 12 tertuduh yang lain bersalah di bawah Seksyen 330 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mencederakan Allahyarham untuk mendapatkan pengakuan bahawa mangsa telah mencuri komputer riba. Hukuman tersebut membawa kepada penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Mereka ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Ady Sany dan Mohamad Syazwan Musa.

Allahyarham yang merupakan Pegawai Kadet Laut UPNM dikatakan didera dengan kesan lecur 80 peratus sebelum meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat, UPNM di Kem Perdana, Sungai Besi antara jam 2.30 pagi hingga 5.30 pagi pada 22 Mei 2017.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Niat hendak beli Rolex, sebaliknya dapat kecederaan dan kerugian RM20,000

Mayat kanak-kanak hilang dibaham buaya ditemukan