in ,

Kes buli: 4 lagi suspek kes buli di MRSM ditahan

Ipoh – Empat lagi ditahan, menjadikan kesemuanya 10 pelajar ditahan pihak polis setakat ini bagi membantu siasatan berhubung insiden buli di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata kesemua empat suspek yang ditahan berusia antara 13 hingga 15 tahun.

“Setakat ini polis sudah menahan 10 pelajar dan enam yang ditahan terdahulu sudah dibebaskan dengan jaminan polis pada petang Ahad,” katanya.


Mior Faridalathrash berkata, kesemua mereka ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tindakan sekumpulan remaja yang dipercayai pelajar sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar yang menumbuk serta menendang seorang rakan setingkatan secara beramai-ramai, tular di media sosial menerusi beberapa hantaran klip video.

Menurut Mior Faridalathrash, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 1.00 hingga 2.00 pagi pada Khamis lalu, membabitkan tujuh suspek remaja dan seorang mangsa yang kesemuanya adalah daripada Tingkatan 1 hingga 3.

“Satu laporan polis telah dibuat oleh pengetua sekolah berkenaan pada Sabtu lalu, susulan penularan video pergaduhan pelajar yang mendapat perhatian ramai,” katanya.

Sehubungan itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Seri Mahdzir Bin Khalid berkata, enam pelajar MRSM yang dikenal pasti terbabit dalam kes buli itu, digantung sekolah serta-merta selama dua minggu.


“Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) turut mencadangkan pelajar terbabit ditamatkan pengajian mereka di institusi itu,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Memetik laporan tersebut, Mahdzir Khalid berkata, JDM MRSM telah pun memanggil 10 pelajar terbabit dalam insiden berkenaan dan pihak MARA mengambil serius kejadian buli yang melibatkan pelajar di institusi pendidikan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar itu.

“Enam pelajar terlibat memukul mangsa buli berkenaan, manakala empat lagi pelajar yang berada di lokasi kejadian didapati bersubahat dan melakukan provokasi.

“Pihak kami tidak mencampuri urusan siasatan dan menyerahkan kepada pihak polis,” tambah beliau.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Didakwa rogol pembantu rumah, ADUN Tronoh diperintah bela diri

Max Verstappen, juara dunia F1 baharu