in , ,

Kerajaan akan terus sekat dan ‘menyusahkan’ kehidupan antivaksin

Kuala Lumpur – Sudahlah tidak boleh makan di restoran, tidak boleh masuk ke pusat beli-belah atau melangkah ke mana-mana premis perniagaan, tidak boleh merentas negeri dan bermacam lagi sekatan sedia ada lain. Seperti sudah jatuh tertimpa tangga, kini Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan tidak akan memudahkan kehidupan golongan antivaksin sekiranya mereka terus berdegil.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar atau lebih mesra dengan panggilan KJ berkata, meskipun kerajaan mungkin tidak mewajibkan vaksin, tidak bermakna golongan itu boleh menjalani kehidupan sama seperti individu yang menerima vaksin.

“Kita mungkin tidak akan mewajibkan vaksinasi di peringkat negara, tetapi saya menggalakkan vaksinasi di peringkat sektor awam serta swasta.

“Pendekatan kita juga adalah, mungkin kedengaran kasar, untuk menyusahkan kehidupan golongan yang memilih untuk tidak mahu divaksin,” katanya ketika sidang media Persidangan National Acute Myocardial Infarction Course (NAMIC), di sini pada Sabtu lalu.

Menurut beliau, pihaknya akan lakukan strategi secara menyeluruh minggu depan. Individu yang enggan divaksin mungkin perlu menjalani ujian COVID-19 berkala yang tidak akan ditanggung oleh kerajaan.

“Jika anda tidak boleh divaksin kerana ada masalah kesihatan, tidak ada masalah. Anda akan diberikan pengecualian di MySejahtera. Tetapi jika anda memilih untuk menolak divaksin, kita akan terus menyusahkan hidup anda,” tegas beliau.

Sementara itu, Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, bahawa dia tidak setuju dengan pendekatan ‘paksaan’ KJ terhadap rakyat Malaysia yang enggan menerima vaksin, malah gesa Menteri Kesihatan itu untuk henti guna pendekatan sombong pada golongan tersebut.

“Kumpulan antivaksin ini saya tidak sokong. Tetapi, janganlah fikir nak hukum dan ugut. Ini cara sombong dan kita tidak boleh terima.

“Kita kena mendekati mereka. Selesaikan dulu yang mahu terima vaksin. Yang sedikit itu kita harus dekati mereka dan cuba memberi penerangan,” katanya di majlis perasmian Wisma SP Care, Hulu Selangor, di sini pada Ahad lalu.

Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu, kita kena mendekati mereka. Selesaikan dulu yang mahu terima vaksin. Yang sedikit itu kita harus dekati mereka dan cuba memberi penerangan.

“Tapi, mengikut undang-undang tidak mengatakan mereka salah. Jadi, macam mana kita membuat tekanan dalam keadaan mengundang dia tidak salah, itu satu.

“Keduanya, bila kata pendekatan ini kita merayu, memujuk memberi penjelasan, memberi penerangan dan memberi jawapan,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan KJ yang dipetik, bahawa kerajaan akan menyusahkan kehidupan golongan yang masih tidak menerima vaksin.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Tiga hari kerja, isteri pemandu ambulans tuntut cerai

Tiada tuduhan khianat, Idris selesa bersama PH