in ,

Kematian anggota tentera: Polis sudah rakam percakapan beberapa saksi

Cheras – Polis sudah memanggil beberapa saksi bagi membantu siasatan kes kematian anggota tentera, Abdul Aziz Aznam yang dipercayai terjun dari tingkat tiga kediaman kem tentera di Batu Pahat, Johor, 29 Ogos lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata saksi termasuk anggota dari kem tentera sama, manakala aspek siasatan meliputi detik sebelum mangsa dipercayai terjun.

“Kita merakam percakapan mereka, termasuk untuk mengetahui sama ada mangsa dipercayai bertindak sedemikian kerana takut atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah Jabatan dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, polis sedang giat melakukan siasatan, termasuk mengenal pasti punca kematian dan sama ada wujud unsur ugutan, tekanan serta penderaan terhadap mangsa sebelum kejadian itu berlaku.

Media sebelum ini melaporkan, pada 29 Ogos lalu, Abdul Aziz, 20, mengalami kecederaan parah di kepala dan badan selepas dipercayai jatuh dari tingkat tiga bangunan kediaman di sebuah kem di Batu Pahat.

Mangsa yang sebelum itu dirawat di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nora Ismail di Batu Pahat bagaimanapun menghembus nafas terakhir jam 2.30 petang, Ahad lalu.

Abangnya, Mohamad Amirul Naim, 22, mendakwa adiknya mengadu sering menjadi mangsa buli ketika berada di kem tentera itu.

Mangsa juga pernah mengadu kepada keluarga bahawa dia pernah ditumbuk dan mukanya digosok dengan berus besi.

 

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Tiada unsur rasuah di IPD Sg Buloh – Ketua Polis Negara

Takungan air pinggiran sungai akan diwujudkan – Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man