in ,

Kebersihan Air Tanggungjawab Bersama

Kebersihan diri adalah sangat penting bagi setiap individu, tanpa mengenali usia atau darjat. Kebersihan diri sudah pasti memberi kesan kepada kesihatan diri. Terutamanya pada musim COVID-19 semakin menular, kebersihan diri menjadi salah satu titik fokus dalam usaha mambanteras dan mengurangkan jangkitan virus COVID-19. Kita tidak dapat menafikan bahawa air adalah satu unsur yang penting untuk menjaga kebersihan diri. Dari membasuh tangan sehingga membersihkan persekitaran kita, kita pasti menggunakan air.

Sungai yang tercemar menunjukkan ciri-ciri seperti kekeruhan yang tinggi dan tidak dapat menampung kehidupan liar.

Sudah terang lagi bersuluh kepentingan air kepada kita. Baru baru ini, kes pencemaran air di Selangor menyebabkan 2 loji rawatan air ditutup, lalu memberi kesan negatif kepada mereka yang terpaksa menghadapi pemotongan air tanpa notis. Pengguna air di kawasan Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gannguan bekalan air. Jika direnungkan, perkara ini boleh memudaratkan kesihatan orang awam, kerana secara amnya, kebersihan diri adalah penting, apatah lagi semasa penularan pandemik COVID-19 ini.

Kerajaan negeri Selangor serta kerajaan Negeri Sembilan sedang berusaha untuk bekerjasama membersihkan kawasan yang menjadi punca pencemaran yang menyebabkan penutupan loji rawatan air Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi. Kerana usaha mereka, kini loji rawatan air Sungai Semenyih telah berfungsi semula. Tetapi, kita sebagai rakyat dan pengguna boleh juga berganding bahu untuk memelihara kemapanan sumber air kita. Berikut adalah beberapa cara kita boleh berbuat demikian:

 

  • Gunakan produk rumahtangga yang mesra alam. Ini termasuk menghindari produk pembersih yang mengandungi fosfat, triclosan, serta sabun antibakteria. Produk-produk ini membahayakan hidupan air.
  • Jadi pemilik kereta yang bertanggungjawab. Bawa minyak motor terpakai anda ke pusat kitar semula dan lakukan penyelenggaraan yang betul untuk mengelakkan kebocoran produk toksik (seperti minyak, penyejuk dan antibeku) di jalan raya yang akhirnya mencemari sungai dan sumber air lain.

  • Buang semua bahan kimia dengan betul. Jangan biarkan cat, turpetin, dan bahan kimia lain memasuki sink, longkang, atau bilik air.

  • Jangan membuang sampah merata rata. Sampah sarap yang dibuang di merata tempat awam akhirnya akan memasuki saluran air yang akhirnya mengalir ke sungai.
  • Jadi pemberi maklumat. Sekiranya anda terserempak dengan aktiviti yang mencurigakan seperti pembuangan sisa toksik secara haram ke saluran air, hubungi pihak berkuasa yang berkenaan dengan segera. Talian aduan untuk Jabatan Alam Sekitar adalah 03-8889 1972 dan nombor hotlinenya adalah 1-800-88-2727.

Sekiranya kita ingin memerangi COVID-19 serta mencegah penularan wabak lain di masa depan, kita harus memulihara sumber air kita dengan elok supaya kita dapat menjaga kebersihan diri dan persekitaran kita. Kita tidak mahu pengulangan apa yang berlaku di Selangor di ketika kemuncak wabak COVID-19 ini.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Surat sokongan akan disiasat ikut Seksyen 23 Akta SPRM

Nabila Huda keguguran lagi