in

Keajaiban Alam di Gunung Irau

Bagi peminat siri karya epik fantasi, The Lord of The Rings pasti tidak asing dengan panorama penuh misteri Hutan Fangorn. Tapi tahukah anda,suasana seperti itu juga boleh dinikmati di negara ini?  

Ibarat berada di tengah hutan ikonik di Middle Earth dalam siri epik itu, Gunung Irau telah menjadi antara tarikan aktiviti pendakian kerana keunikan hutan lumutnya.

Peluang mendaki Gunung Irau di Cameron Highlands pastinya tersimpan 1,001 memori dek terpana dengan keindahan landskap hutan semula jadi lembap dan berlumut sepanjang tahun itu.

Gunung itu terkenal dengan landskap utama yang dipenuhi tumbuhan berlumut umpama baldu, sehingga ia diberi nama hutan berlumut atau ‘Mossy Forest’.

Walaupun pendakian merentasi trek yang licin, berlumut dan dipenuhi akar kayu itu mencabar serta menuntut kemahiran teknikal, pendaki teruja menikmati pemandangan alam cukup indah.

   

Penulis sebelum ini berpeluang merasai pengalaman berharga menawan gunung kesembilan tertinggi di Semenanjung dan ke-15 di Malaysia itu dengan ketinggian 2,110 meter atau 6,924 kaki dari aras laut.

Pendakian yang mengambil masa kira-kira tiga jam untuk sampai ke Mini Irau biasanya sering berlanjutan kerana pastinya pendaki tidak mahu melepaskan peluang merakam memori indah menerusi lensa kamera di ‘port’ menarik sepanjang pendakian.

Menyusuri pendakian yang mengambil masa hampir empat jam itu, seorang pendaki, Latifah Rafii, 49, berkata, dia mula menanam minat untuk mengikuti aktivit mendaki sejak 2016 dan mengakui sejak itu tidak pernah berhenti mengikuti mana-mana program pendakian sama ada di bukit mahupun gunung berdekatan.

Meskipun hampir menginjak usia separuh abad, ibu tunggal ini mahu kekal cergas demi kesihatan. Petua kekal bertenaga adalah melakukan senaman secara berkala, jaga pemakanan dan mengambil suplemen vitamin.

“Selain itu, saya sentiasa memastikan mendapat tidur yang cukup dan mengawal tekanan. Alhamdulillah, setakat ini saya tidak mengalami sebarang penyakit sinonim dengan faktor umur seperti darah tinggi dan kencing manis berkat kesungguhan menjaga kesihatan,” katanya yang sudah menawan beberapa gunung antaranya Gunung Irau, Gunung Angsi dan Gunung Datuk.

Menurutnya, peluang mengikuti pendakian ke Gunung Irau sememangnya dinanti kerana mengetahui keindahan landskap hutan yang berbeza daripada tempat lain.

Selain itu katanya, persiapan rapi dari segi mental dan fizikal amat perlu sebelum mendaki gunung itu yang dianggap agak mencabar oleh sebahagian besar pendaki tegar kerana perlu berdepan cuaca tidak menentu, selain laluan berlumpur dan agak licin.

Cabaran itu bagaimanapun katanya, hampir ‘dilupakan’ selepas menikmati keindahan gunung yang dikatakan seperti sebahagian landskap dalam filem The Lord of The Rings dan Avatar.

Bagi Wan Mohd Izat Wan Mustafa, 32, dia menyahut seruan mengamalkan gaya hidup sihat dengan terbabit aktif dalam pendakian gunung dan antara gunung yang pernah ditawan termasuk Gunung Ledang, Gunung Angsi selain Gunung Batok, Gunung Bromo dan Gunung Ijen di Surabaya, Indonesia.

Katanya, di samping dapat melihat keindahan alam, pendaki juga boleh menghilangkan tekanan bekerja dengan melakukan aktiviti berfaedah seperti ini.

“Aktiviti mendaki adalah senaman yang berintensiti tinggi yang mampu membakar kalori dengan lebih cepat dan banyak. Bukan saja kita jadi kuat dari segi fizikal tetapi mental juga tenang.

“Aktiviti ini juga dapat mengekalkan hubungan dan mengeratkan silaturahim dalam kalangan pendaki dan saya dapat berkenalan dengan ramai pendaki lain. Banyak faedah lain yang boleh didapati dengan mendaki gunung ini,” katanya.

Bagi pendaki, Sazali Zamani, 34, meskipun dia pertama kali mengikuti pendakian ke gunung berbanding hanya bukit sebelum ini, ekspedisi itu dapat dilakukannya tanpa sebarang masalah.

Katanya, mendaki nampak mudah tetapi menuntut stamina yang tinggi apatah lagi perlu menyusuri laluan curam, di sinilah kekuatan mental dan fizikal diperlukan, tidak boleh panik dan sentiasa memastikan kaki mendarat pada ruang yang kukuh untuk mengelak kecederaan.

“Walaupun masih hijau dalam aktiviti ini, tapi saya sentiasa positif bahawa saya boleh melakukannya. Meskipun ramai yang menasihatkan agar tidak mencuba jika masih baru, tapi dengan sokongan rakan dalam kumpulan ini, saya berjaya sampai ke puncak.

“Setiap orang perlu mengubah persepsi mereka tidak mampu sampai ke puncak sebelum melakukan aktiviti. Ini kerana hanya kita yang tahu kemampuan sendiri dan tidak boleh mengalah sebelum mencuba.

“Memang seronok melihat keadaan hutan yang indah seolah-olah semua tekanan dapat dilupakan. Walaupun penat, pengalaman mendaki gunung ini sangat berharga. Jika ada peluang, saya ingin mengikuti ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu pula selepas tamat Covid-19,” katanya. 

 

Written by Isz Yusliza

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Kekasih Baru Haris Halim

Jerejak – Terhapusnya Sebahagian Sejarah