in ,

Kawasan Klang dinaiki air akibat banjir kilat

Klang: Susulan hujan lebat berpanjangan melanda daerah ini semalam, mengakibatkan banjir kilat hingga menyebabkan kenderaan terkandas dan beberapa kawasan penempatan penduduk serta jalan raya dinaiki air.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, kejadian banjir kilat akibat limpahan air sungai ekoran hujan lebat di Jalan Mohd Yamin, di sini, menyebabkan 15 rumah dinaiki air.

“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 5.28 petang dan dilaporkan kedalaman banjir dianggarkan 1.8 meter, membabitkan 15 kediaman di Jalan Mohd Yamin.

“Sehingga jam 7.32 malam, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang dan BBP Banting berjaya menyelamatkan seramai 31 penduduk yang terjejas membabitkan 10 lelaki dewasa, 12 perempuan dewasa, tujuh kanak-kanak dan dua warga emas.

Menurut Norazam Khamis, pihaknya turut menerima panggilan pada jam 5.14 petang membabitkan kejadian banjir kilat di kawasan berhampiran pusat beli-belah di Persiaran Bukit Raja 2, Bandar Baru Klang.

“Anggota BBP Sungai Pinang dikerah ke lokasi kejadian dan mendapati banjir kilat tersebut melibatkan jalan di Lebuhraya Persekutuan dari arah Klang menghala ke Kuala Lumpur. Kedalaman air dianggarkan 1.2 meter dan terdapat lima kenderaan ditenggelami air.

“Manakala pasukan BBP Kota Raja pula bergegas ke Taman Melawis, di sini, sejurus menerima panggilan jam 5.16 petang. Kedalaman banjir di paras 0.3 meter membabitkan 20 rumah dan tiada pemindahan mangsa,” katanya.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

‘Timah’, arak keluaran tempatan cetus kontroversi

Padah tunggang motosikal secara berbahaya, 4 individu ditahan