in ,

Juruterbang, kru kabin MAG ditawar latihan semula

SEPANG: Malaysia Aviation Group (MAG) menawarkan latihan semula kepada kakitangannya bagi membina serta meningkatkan kemahiran seiring dengan keperluan operasi kumpulan pasca pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Izham Ismail, berkata COVID-19 memberi impak kepada industri penerbangan, sekali gus mengubah operasi perniagaan ketika ini.

Berikutan itu, katanya MAG memperkenalkan MH EDGILE, program peningkatan serta latihan semula yang dibuka kepada lebih 2,000 pekerja, terutama juruterbang, kru kabin dan petugas barisan hadapannya yang terjejas kerana penurunan operasi serta rangkaian.

MH EDGILE, katanya, memberi peluang kepada kakitangan untuk meningkatkan kemahiran lain seperti pengurusan fasiliti, audit, pengurusan awam, jualan dan teknologi maklumat.

Beliau berkata, objektif utama program itu membolehkan kakitangan memberi kepakaran dan perkhidmatan untuk menyokong kelangsungan perniagaan jangka panjang syarikat, di samping meneroka peluang baharu untuk berkembang dan mengukuhkan potensi mereka dalam MAG.

“Kumpulan kakitangan yang terbabit akan ditugaskan semula buat sementara waktu untuk menyokong jabatan lain yang memerlukan tenaga kerja atau fungsi pekerjaan baharu,” katanya dalam satu kenyataan.

Izham berkata, kes COVID-19 masih menunjukkan peningkatan, memaksa beberapa syarikat penerbangan menghentikan operasi dan menggantung penerbangan.

Justeru, tegasnya adalah penting bagi MAG untuk mempersiapkan kakitangan dengan kemahiran baharu untuk menjadi lebih cekap dalam peranan mereka sekarang atau beralih ke posisi baharu serta menyokong matlamat perniagaan kumpulan.

“Ini adalah masa yang tepat bagi kakitangan untuk membina semula kemahiran diri. Inisiatif ini ditawarkan secara sukarela dan bergantung kepada prasyarat pekerjaan dan kriteria pemilihan.

“Semua tugasan akan dibuat secara sepenuh masa, namun, pekerja tetap dibenarkan untuk mengekalkan pekerjaan sedia ada. Tempoh penugasan sementara akan bergantung kepada keperluan perniagaan dan operasi kumpulan,” katanya.

MAG adalah syarikat induk kepada Malaysia Airlines Bhd, Firefly, MASwings, MAB Kargo, AeroDarat Services Sdn Bhd, MAB Academy, perkhidmatan penerbangan umrah dan haji Amal, perkhidmatan penyelenggaraan MAB Engineering dan pajakan pesawat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Malaysia Airlines Bhd, Datuk Mohd Khalis Abdul Rahim, berkata MAG percaya pengembangan bakat dan mewujudkan budaya peningkatan berterusan dapat mendorong kelangsungan jangka panjang perniagaan kumpulan. – BERITA HARIAN

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

10 polis ditahan, RM100,000 dirampas

Surat sokongan akan disiasat ikut Seksyen 23 Akta SPRM