in ,

‘Jika Anwar berjaya, kerajaan pimpinannya tetap goyah’

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka memimpin kerajaan yang ‘goyah’ sekiranya dakwaan beliau memiliki sokongan kukuh Ahli Parlimen dibuktikan berasas dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata keadaan politik semasa yang tidak stabil akan terus membelenggu kerajaan pimpinan Ketua Pembangkang itu dengan angka Ahli Parlimen yang menyokongnya juga bukan mewakili suara majoriti.

“Sudah tentu, saya bukan seorang Ahli Parlimen yang Anwar dakwa berpihak kepadanya. Kedua, apa pun yang terjadi, walaupun mendapat perkenan Yang-di Pertuan Agong dan katakan Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri, saya percaya situasi politik yang goyah ini akan terus berlarutan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diajukan soalan mengenai pandangannya mengenai situasi politik semasa dalam slot The Breakfast Grille, secara langsung di stesen radio BFM, hari ini.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, cuma satu penyelesaian bagi mengukuhkan semula kerajaan iaitu dengan mengadakan pilihan raya.

“Dalam keadaan sekarang (pandemik COVID-19), kita berdepan dengan soal hidup dan mati, jadi untuk mengadakan semula pilihan raya dalam waktu ini amat tidak bertanggungjawab.

“Biarlah kami teruskan dengan usaha menangani krisis kesihatan dan ekonomi yang sedang melanda negara sekarang.

“Nasihat saya, hentikanlah permainan politik mengarut ini, dan jika tidak ada nombor (sokongan Ahli Parlimen seperti didakwa), lebih baik diam,” katanya.

Ura-ura perubahan tampuk pemerintahan buat kali ketiga di Malaysia bermula apabila Anwar mengumumkan memiliki sokongan kukuh untuk membentuk kerajaan, dalam sidang medianya pada 23 September lalu.

Pada Selasa lalu, Anwar menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara untuk mempersembahkan sokongan Ahli Parlimen yang didakwa dimilikinya.

-BERITA HARIAN

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

COVID-19: Taiping diisytihar zon merah

Sultan Selangor jalani saringan COVID-19 sebagai langkah berjaga-jaga