in ,

Institusi Diraja berperanan semak, imbang kerajaan

KOTA KINABALU: Keputusan Yang di-Pertuan Agong menolak syor mengisytiharkan darurat menunjukkan institusi raja juga boleh berfungsi sebagai semak dan imbang kepada kerajaan.

Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick, berkata fungsi itu sangat penting terutama apabila Yang di-Pertuan Agong menerima nasihat dan syor daripada Perdana Menteri.

“Terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong yang sudah berbincang dengan Raja-Raja Melayu dan seterusnya membuat keputusan menolak syor Perdana Menteri untuk mengisytiharkan darurat di negara ini.

“Keputusan ini menunjukkan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja memainkan peranan semak dan imbang kepada kerajaan terutama apabila menerima nasihat-nasihat dan syor-syor daripada seseorang Perdana Menteri.

“Kita sudah ada akta berkaitan yang boleh dan sedang digunakan bagi menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Cadangan mengisytiharkan darurat hanya menunjukkan kelemahan kerajaan dan lebih bersifat mahu menyelamatkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Itu pandangan saya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian itu berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan masih mempunyai pilihan lain untuk menangani pandemik COVID-19 daripada terus merebak di negara ini.

Pada masa yang sama, katanya pembangkang juga boleh bekerjasama dan mengukuhkan perpaduan bagi menangani pandemik berkenaan.

“Perdana Menteri dan kerajaan masih mempunyai pilihan lain. Begitu juga dengan pihak pembangkang. Iaitu kerjasama dan perpaduan bagi menangani penularan pandemik Covid-19,” katanya.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di negara ini buat masa ini.

Dalam satu kenyataan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata keputusan itu dibuat hasil perbincangan dalam mesyuarat khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, semalam.

Katanya, Al-Sultan Abdullah merasakan kerajaan ketika ini berjaya menangani wabak COVID-19 dengan baik dan berkesan.

Sebelum ini, Muhyiddin mengadap Yang di-Pertuan Agong di Kuantan bagi mempersembahkan syor darurat yang dipersetujui anggota Kabinet. -BERITA HARIAN

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Menggunakan Tenaga Nuklear Sebagai Sumber Tenaga Alternatif Hijau

Sabah catat 533 kes COVID-19 baharu