in ,

Individu tipu jual PS5 ditahan

Kuala Lumpur – ‘Penjual dipercayai’ yang memperdaya hampir 150 pelanggan yang membeli pelantar hiburan PlayStation 5 (PS5) secara pra tempahan sehingga melibatkan kerugian RM500,000 ditahan pihak polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, seorang individu telah ditahan bagi membantu siasatan kes penipuan berkenaan.

“Saya sahkan, suspek seorang lelaki berusia 23 tahun berjaya ditahan polis di Pulau Pinang ketika suspek hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut pada kira-kira jam 12.00 tengah hari.

“Polis turut merampas kad sim, kad bank serta telefon bimbit milik suspek bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, hampir 150 pembeli pra tempahan PS5 kerugian kira-kira RM500,000 selepas diperdaya individu yang membina reputasi sebagai ‘penjual dipercayai’ atau trusted seller sebelum melarikan diri bersama wang berkenaan.

Difahamkan, penjual terbabit turut memiliki syarikat didaftarkan atas namanya bagi menambah keyakinan pelanggan.

Semakan terhadap nombor daftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang dikaitkan dengan penjual berkenaan mendapati sijil daftar perniagaan itu dimiliki oleh seorang lelaki berusia 23 tahun dengan alamat daftar di Pulau Pinang.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pakar cadang hentikan pasaran motosikal ‘kapcai’ secara berperingkat

Arak kontroversi kekal guna jenama Timah di pasaran