in ,

India uji peluru berpandu ICBM jarak jauh 5,000 km

New Delhi – India selamat sempurnakan ujian peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) berkeupayaan nuklear dengan jarak serangan sejauh 5,000 kilometer (km), pada Rabu lalu.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan India, peluru berpandu Agni-V telah diinduksi lebih tiga tahun lalu, namun pelancaran pada 27 Oktober adalah kali pertama ia diuji oleh agensi penggunanya, Pasukan Pertahanan Strategik.


“Agni-V yang mampu membawa satu tan metrik kepala peledak (warhead) nuklear telah dilancarkan dari Pulau Abdul Kalam, Odisha pada jam 7.50 malam (waktu India) dan tepat berjaya mengena sasaran di Teluk Bengal.

“Dengan keupayaan membawa muatan nuklear, peluru berpandu itu mampu menyerang sasaran pada jarak sehingga 5,000 km dengan tahap ketepatan yang sangat tinggi. Bermakna ia boleh mencapai hampir di mana sahaja dalam China,” menurut kementerian itu.

Peluru berpandu Agni-V berketinggian 17 meter dengan berat pelancaran sebanyak 50 tan menggunakan enjin bahan api pepejal tiga peringkat, bermakna bahagian roket selesai digunakan akan terpisah dibuang setelah kehabisan propelan.


Kata kementerian itu, kerajaan India telah membangunkan pelbagai jenis peluru berpandu di bawah Program Pembangunan Peluru Berpandu Bersepadu dan pembangunan Agni-V adalah sebahagian daripada dasar kerajaan untuk mengekalkan ‘kuasa pencegahan minimum’.

Pelancaran itu adalah ujian kelapan yang dilaporkan sejak 2012 dan telah diadakan selepas China menjalankan ujian peluru berpandu hipersoniknya pada Ogos lalu.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook kini dikenali sebagai Meta

Niat hendak beli Rolex, sebaliknya dapat kecederaan dan kerugian RM20,000