in , ,

Harta RM1.6 juta milik pegawai SPRM salah guna kuasa disita

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyita sebuah rumah dan beberapa kenderaan mewah dianggarkan bernilai RM1.6 juta milik tiga pegawainya yang dikaitkan dengan siasatan kehilangan barang kes wang tunai melibatkan seorang ketua jabatan berjumlah RM25 juta.

Memetik dari sumber, antara harta yang disita melibatkan sebuah rumah di Selangor, dua kereta jenis Mercedes dan Honda Type R serta dua motosikal berkuasa tinggi jenis Ducati.

“Rumah dan kenderaan tersebut dipercayai milik pegawai SPRM berpangkat penguasa kanan gred 44, berusia 40 tahun.

“Penyitaan dilakukan susulan siasatan terhadap penguasa kanan berkenaan bersama dua lagi pegawainya berpangkat penguasa dan ketua penolong penguasa kanan,” menurut sumber.

SPRM sedang melakukan dokumentasi bagi mengetahui punca pemilikan semua harta itu memandangkan penguasa kanan terbabit dikesan hidup mewah melebihi gaji yang sepatutnya.

“Siasatan kini tertumpu kepada penguasa kanan berkenaan kerana beliau antara individu yang bertanggungjawab menyimpan ex­hibits sesuatu kes yang disiasat.

“Pasukan penyiasat juga sedang mengumpul bukti mengenai aktiviti suspek yang turut disyaki terbabit dalam beberapa pelaburan dan pembelian hartanah.

“Tambahan, SPRM akan memperincikan siasatan bagi melihat rekod pemilikan wang serta harta benda membabitkan dua lagi pegawai yang ditahan, kata sumber.

Terdahulu pada 21 September, polis mengesahkan pihaknya telah menahan seorang pegawai kanan SPRM untuk siasatan kerana memiliki dadah berbahaya, senjata api dan 400 butir peluru bersaiz 9 milimeter termasuk sepucuk pistol tiruan serta tiga kelongsong peluru bersaiz 9 milimeter.

Hasil pemeriksaan lanjut di rumah pegawai itu turut menemui sepucuk senapang jenis ‘pump gun’ jenama Benelli Armi termasuk 200 butir lagi peluru jenis 9 milimeter, alat pembuka senjata dan senaskah buku manual penggunaan senjata.

“Semakan lanjut, penguasa kanan berkenaan mempunyai lesen senjata api membabitkan satu jenama lain yang dikeluarkan oleh Bahagian Pelesenan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya dab berdasarkan lesen penggunaan senjata api itu, pegawai berkenaan hanya dibenarkan untuk memiliki 100 butir peluru sahaja,” dedah sumber itu.

Dalam pada itu difahamkan, satu sidang akhbar khas antara SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dibuat dalam masa terdekat.

Kontroversi salah guna kuasa tiga pegawai itu tercetus susulan wang sejumlah RM25 juta milik bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Hasanah Abdul Hamid yang disita SPRM tiga tahun lalu didakwa hilang.

Hasanah sebelum itu didakwa di mahkamah atas tuduhan melakukan pecah amanah melibatkan wang kerajaan bernilai kira-kira RM50 juta, namun pada April lalu beliau telah dilepas tanpa dibebaskan.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Shah Alam dilanda banjir kilat

Tujuh individu pusat judi atas talian ditangkap