in ,

Harga sawit dijangka kekal atas RM3,000 satu tan hingga hujung tahun

KUALA LUMPUR: Aliran pengukuhan harga minyak sawit mentah (MSM) pada masa ini turut menimbulkan pertanyaan mampukah perkembangan positif itu bertahan sehingga suku pertama 2021 (Q121)?

Prospek atau kemungkinan itu akan bergantung kepada keputusan kerajaan untuk meneruskan pengecualian duti eksport MSM, demikian menurut Ketua Pegawai Operasi Perdagangan Global Sime Darby Oils, Sandeep Bhan.

Katanya, berdasarkan faktor inventori yang rendah serta peningkatan eksport ketika ini, komoditi berkenaan kini dipacu oleh harganya yang kukuh melebihi paras RM3,000 satu tan dan dijangka kekal sehingga akhir tahun ini.

“Namun, sama ada aliran pengukuhan harga ini dapat bertahan sehingga Q121, akan bergantung kepada keputusan kerajaan membabitkan duti eksport MSM untuk 2021,” katanya pada sesi soal jawab di hari kedua Persidangan dan Pameran Prospek Harga Minyak Sawit dan Laurik (POC) 2020 yang dianjurkan secara maya di sini, kelmarin.

Sandeep adalah antara ahli panel persidangan platform digital itu yang bertujuan bertukar idea, penyelesaian dan trend semasa membabitkan industri minyak makan dan lelemak antarabangsa yang dianjurkan oleh Bursa Malaysia Bhd.

Kerajaan menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), telah memberi pengecualian 100 peratus duti eksport ke atas minyak sawit mentah, minyak isirung sawit mentah dan minyak isirung sawit yang diproses mulai 1 Julai hingga 31 Disember 2020.

Namun, Sandeep turut bimbang mengenai kemampuan minyak makanan berkenaan memenuhi permintaan semasa berikutan pembukaan semula ekonomi yang ketara di peringkat global.

“Dunia tiada pilihan kecuali membeli minyak sawit. Bagaimanapun, terdapat kekangan terhadap permintaan ketara di peringkat dunia (sama ada disebabkan oleh faktor cuaca dan kekurangan tenaga kerja,” katanya.

Beliau turut merujuk India yang juga pengguna minyak sawit terbesar dunia dengan 1.35 bilion penduduknya perlu menampung penggunaan MSM yang mencecah 600,000 tan hingga 700,000 tan sebulan.

Menurutnya, walaupun India sensitif dari segi harga, tetapi ini tidak menghalang negara terbabit daripada terus membeli minyak sawit Malaysia.

“Apa juga harga MSM, India akan terus membelinya untuk sekurang-kurangnya beberapa bulan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi ahli panel, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Sumwin Group, UR Unnithan berkata, teknologi blockchain boleh digunakan bagi melonjakkan minyak sawit dalam pasaran Kesatuan Eropah, terutamanya di bawah dasar makanan komprehensifnya – ‘farm-to-fork.’

Menurutnya, teknologi itu akan membolehkan industri minyak sawit membuktikan bahawa komoditi itu dihasilkan secara mampan dan mematuhi amalan ‘Tiada Pembasmian Hutan, Tiada Hutan Gambut, Tiada Eksploitasi’ selain menyanggah negara-negara EU dan pertubuhan yang kritikal terhadap aspek kelestarian minyak tersebut.

“Sistem blockchain itu memberi keyakinan serta membolehkan penggiat industri minyak sawit untuk mewujudkan jaringan dengan rakan untuk memudahkan lagi akses terhadap minyak yang lebih mampan,” katanya.

– Bernama

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

COVID-19: PBB, Bank Dunia rayu sekolah kekal dibuka – Laporan

Malaysia serah kepengerusian Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh ASEAN