in ,

Guna elektrik dengan bijak, elak pembaziran semasa PKPB

KUALA LUMPUR: Matikan suis apabila selesai mengecas dan pastikan lubang edaran udara tertutup rapi ketika menggunakan pendingin hawa antara panduan dikongsi Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi menjimatkan penggunaan elektrik kediaman sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

TNB menjangkakan penggunaan elektrik sepanjang PKPB meningkat daripada kebiasaan kerana lebih banyak masa dihabiskan di rumah.

“Dalam kesibukan kita bekerja atau belajar secara maya sepanjang tempoh ini, banyak peluang yang boleh diambil bagi menggunakan elektrik secara berhemah dan mengelak pembaziran.

“TNB menasihatkan pengguna mengamalkan beberapa panduan penggunaan elektrik yang cekap termasuk mematikan komputer dan cabut suis selepas selesai menggunakannya.

“Sekiranya mengecas komputer riba, matikan suis apabila selesai mengecas, pastikan juga semua pintu, tingkap dan lubang edaran udara tertutup rapi ketika menggunakan pendingin hawa supaya hawa sejuk tidak keluar dari bilik,” katanya.

Pengguna juga dinasihatkan menggunakan kipas bagi membantu menyejukkan hawa bilik supaya suhu pendingin hawa dapat dilaraskan lebih tinggi.

“Bersihkan penapis pendingin hawa bagi memaksimumkan proses penyejukan.

“Penapis yang kotor menghalang aliran udara dan mengurangkan kecekapan pendingin hawa,” katanya.

Bagi golongan ibu bekerjaya atau suri rumah, terdapat beberapa pendekatan boleh diambil bagi menjimatkan penggunaan tenaga.

“Elak mencuci pakaian menggunakan air panas, melainkan sekiranya perlu dan menggunakan mesin basuh dengan muatan penuh.

“Bagi mereka yang menggunakan ketuhar elektrik, elakkan daripada kerap membuka pintu ketuhar ketika memasak bagi memastikan suhu ketuhar stabil.

“Memasak pelbagai hidangan serentak juga lebih menjimatkan,” katanya.

TNB turut memaklumkan, pengguna boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai kaedah penggunaan tenaga yang berhemat dan bijak dengan melayari pautan https://www.mytnb.com.my.

Bermula 22 Oktober lalu, kebanyakan warga kerja di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mula bekerja dari rumah seiring dengan pematuhan arahan kerajaan dalam melaksanakan PKPB.

Pengguna juga akan terus menikmati diskaun rangsangan ekonomi sehingga 50 peratus untuk penggunaan elektrik bulanan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang dilanjutkan sehingga 31 Disember depan.

“Inisiatif kerajaan ini memberi manfaat kepada lebih tujuh juta pengguna kediaman dan diteruskan bagi membantu rakyat menyesuaikan diri dengan pemulihan semula ekonomi negara ketika ini.

“Maklumat lanjut mengenai diskaun boleh diperolehi di www.tnb.com.my/prihatin,” katanya.

-BERITA HARIAN

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Dewan Rakyat tidak boleh bersidang secara maya – Speaker

Trump, Biden saling bertukar tuduhan ketika berdebat