in ,

Gugur Keahlian ADUN Telok Mas serta-merta

Petaling Jaya: Biro Politik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) telah bermesyuarat semalam, bagi membincangkan perkembangan politik terkini di negeri Melaka serta menetapkan pendirian untuk menggugurkan keahlian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, Dato’ Noor Effandi Ahmad daripada BERSATU secara serta-merta.

Setiausaha Agung BERSATU, Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata, ketetapan gugur keahlian Noor Effandi telah diputuskan Biro Politik BERSATU di bawah Fasal 10 Perlembagaan BERSATU dan perkara itu akan disahkan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU akan datang.

“Biro Politik BERSATU melahirkan rasa amat kecewa terhadap tindakan empat ADUN Melaka yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sehingga membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri ketika rakyat sedang bergelut dengan pandemik COVID-19.

“Kemelut politik itu berpunca daripada masalah dalaman parti politik tertentu dan perlu diselesaikan mengikut lunas Perlembagaan Negeri Melaka serta Perlembagaan Persekutuan dengan mengambil kira kepentingan rakyat,” ujarnya dalam kenyataan media.

Katanya, Biro Politik BERSATU berpendapat bahawa kemelut politik itu akan bertambah parah sekiranya terdapat pihak tertentu yang mengambil kesempatan tanpa memikirkan kebajikan rakyat dan juga kepentingan negara yang ketika ini masih di peringkat awal proses pemulihan.

Pada Selasa lalu, Yang di-Pertua DUN Melaka, Dato’ Sri Ab Rauf Yusoh mengumumkan bahawa Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Mod Ali Rustam bersetuju untuk membubarkan DUN Melaka.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat susulan selepas empat ADUN kerajaan negeri itu, iaitu bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron (BN – Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN – Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (BEBAS – Pengkalan Batu) dan Noor Effandi menyerahkan surat ketidakpercayaan serta menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman Ali.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Perkhidmatan media sosial tergendala, kekayaan Mark Zuckerberg susut AS$6 bilion

5 penjawat awam antara 7 suspek geng samun berkawan ditahan