in ,

Generasi YouTube: Bila Bulan Mengambang Ketengah Bakat Pencipta Kandungan Seram

Sama ada anda percaya atau tidak akan kewujudan hantu atau makhluk halus, sesuatu cerita seram atau tempat yang dikhabarkan berhantu pasti membangkitkan rasa ingin tahu walaupun ada antara kita yang masih ragu-ragu. 

Kisah dan lagenda sebegini tidak asing dari masyarakat tempatan – pocong, bunian, pontianak, jembalang dan makhluk-makluk lain yang menakutkan telah berjaya mengambil tempat mereka tersendiri di sini, seiring dengan kandungan seram antarabangsa.

Diilhamkan daripada keseraman bulan Oktober, YouTube Malaysia menerusi ‘Generasi YouTube – Bila Bulan Mengambang…’ mempersembahkan antara pencipta kandungan yang semakin meningkat naik dalam genre ini dalam satu sesi temubual online bersama media semalam.

Antara yang berkongsi cerita di sebalik penciptaan kandungan mereka adalah Asyraf Kamaruzzaman dari saluran Ashhrapp Channel, Noorfaizal Rozi dari saluran Faizal Rozi Vlogs, Nur Ainina Arifin dari saluran Neyna Story dan Hanizamal Abu Hanifah dari saluran Solo Ambush.

Asyraf ketika sesi perkongsiannya berkata, semasa baru bermula, dia masih cuba mencari ruang tersendiri dan pada masa itu, dia belum mengenalpasti jenis kandungan yang hendak diketengahkan. 

Asyraf Kamaruzzaman

Menurutnya, dia cuba merenungkan apa sebenarnya kebolehan dan minatnya sebelum akhirnya mendapat idea untuk berkongsi cerita hantu. 

“Saya suka bercerita dan rasa ada juga kebolehan untuk membuatnya. Inilah yang membuatkan saya mengambil langkah untuk mencuba. Saya memastikan kandungan disediakan sekurang-kurangnya dua minggu sebelum dimuat naik.

Kisah seram dalam laman Youtube Ashraf sering mendapat lebih 100,000 tontonan.

“Pada awal pembabitan, saya menyasarkan untuk mencapai 1,000 tontonan dalam masa seminggu. Tak sangka pula ia melangkau jangkaan saya dengan mencapai 7,000 tontonan dalam tempoh itu,” katanya.

Membawa dunia luar ke sesi ini ialah Noorfaizal Rozi, seorang pencipta yang jelas menampakkan potensinya dalam topik penerokaan kisah mitos. 

Noorfaizal Rozi

Sebagai peneroka kisah mitos, Faizal merungkai bangunan terbiar dan lokasi-lokasi yang dikatakan berhantu atau bermisteri.

Bagi Faizal, minatnya tersemai dari kecil lagi bermula dengan ayahnya membawanya bersama ketika menjelajahi tempat-tempat yang bersejarah dan mempunyai cerita latar yang menarik. 

Faizal sentiasa terdorong untuk menerokai lokasi yang jarang diterokai dan tersembunyi.

Pengalaman ini, digabungkan dengan pengalaman kem pertahanan yang pernah dihadirinya, membantunya untuk penerokaan tersebut.

Anda perlu mengkaji sesuatu kawasan dan memperolehi sebanyak mungkin informasi mengenainya, sama ada melalui kajian desktop atau peralatan seperti Google Earth atau dengan berbual bersama penduduk kampung di kawasan itu. 

Anda perlu mengambil kira pengangkutan yang terbaik untuk dibawa ke lokasi, bentuk muka bumi di sana boleh menimbulkan cabaran. Terdapat juga cabaran teknikal – penggambaran pada waktu malam, tidak dapat melihat apa-apa, cuaca buruk, peralatan tak berfungsi dan rosak, rakaman tidak dirakam dengan baik, dan kos tambahan yang terpaksa ditampung sekiranya perlu dirakam semula. 

“Kadang-kadang sesuatu tempat itu boleh juga mencabar diri dari segi mental dan emosi, terutamanya tempat-tempat yang mempunyai sejarah penyeksaan – anda akan melihat, mendengar, dan merasa benda-benda yang tiada penjelasan mudah,” terang Faizal apabila ditanya mengenai persiapan dan cabaran yang dihadapi semasa penerokaannya.

Turut menyertai sesi ini ialah pencerita Ainina, yang lebih dekenali sebagai Neyna, di mana fokusnya adalah kepada kandungan jenayah, seram, dan kejadian misteri. 

Nur Ainina

Neyna bergantung kepada kebolehannya bercerita untuk menarik minat penonton dan mengaku bahawa penubuhan salurannya adalah antara perkara yang paling mencabar dalam perjalanan YouTube-nya. 

“Saya telah lama meminati topik jenayah dan seram sejak kecil lagi, dan pernah mengalami sebuah kejadian seram sendiri tetapi ini tidak menghalang saya daripada mendalami dunia seram ini sebagai hobi. 

Neyna mendapat inspirasi daripada pencipta kandungan Nessie Judge dalam cara penyampaian gaya siri jenayah barat.

“Walaupun saya mungkin telah memulakan saluran saya sebagai sebuah ruang untuk mengekspresikan diri, saya rasa cukup selesa untuk menjadi seorang pencipta kandungan sepenuh masa,” katanya.

Sementara itu, penyiasat paranormal, Hanizamal atau lebih dikenali dengan nama Abang Hani daripada saluran Solo Ambush yang juga seorang pendaki gunung yang aktif, dan telah terlibat dalam beberapa misi mencari dan menyelamat, termasuk kes pelari Acap yang hilang pada 2019. 

Abang Hani berazam untuk mengemukakan bukti nyata yang menyokong bahawa adanya makhluk dan entiti halus.

Setelah melalui expedisi pendakian secara berseorangan, Abang Hani telah meraih reputasi sebagai seorang yang tidak mudah takut atau gentar dan menjadi orang yang dipanggil untuk menyiasat fenomena di luar batas pemahaman manusia.

“Saya pernah membuat siaran langsung perjalanan saya ke tempat terbiar dan misteri di Facebook dan dari sana telah mendapat lebih banyak permintaan untuk berkongsi sorotan penstriman saya di saluran Youtube.

“Ada empat perkara yang perlu ada sebelum saya menerokai sesuatu tempat. Yang pertama, lokasinya harus mempunyai cerita seram yang sah. Kedua, tempat itu harus mempunyai sambungan internet yang baik untuk memastikan kualiti penstriman yang baik. 

“Saya juga perlu mengetahui lokasi koordinat GPS yang tepat bagi lokasi itu. Terakhir sekali, saya perlu mempunyai kebenaran daripada tuan punya tanah atau pihak berkuasa untuk menjalankan penerokaan saya. Kalau salah satu daripada syarat ini tidak dipenuhi, saya tidak mungkin akan meneruskan sesuatu perjalanan itu,” tambahnya.

Apabila ditanya mengenai perancangannya untuk masa hadapan, Abang Hani pasti yang dia hendak merantau di luar sempadan Malaysia untuk meneroka. Segi Tiga Bermuda dan Piramid di Giza adalah antara destinasi utama yang hendak diterokainya apabila situasi membenarkan.

Empat pencipta kandungan genre seram dalam sesi Generasi Youtube Bila Bulan Mengambang…

Walaupun ramai antara kita mungkin biasa melihat pelawak, penyanyi, vlogger, pemain permainan video, penggiat hobi, dan chef amatur, YouTube adalah sebuah platform untuk pelbagai jenis pencipta dan kandungan untuk berkembang maju – termasuk pencipta kandungan seram. 

 

Written by Isz Yusliza

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Awasi Sinar UV Cepatkan Proses Penuaan

Penemuan Air di Bulan