in ,

Fasa 4 PPN: 20,000 penonton dibenar saksikan perlawanan di stadium

Kuala Lumpur: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan bahawa 50 peratus daripada kapasiti tempat atau maksimum seramai 20,000 penonton di negeri Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan hadir di stadium bagi menyaksikan perlawanan Piala Malaysia 2021.

Memetik laporan Bernama, Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan turut memaklumkan, kebenaran ke stadium bagi negeri Fasa 3 PPN adalah 30 peratus daripada kapasiti tempat atau maksimum 10,000 penonton, manakala bagi negeri Fasa 2 PPN adalah 20 peratus atau maksimum 5,000 penonton.

“Berdasarkan SOP (prosedur operasi standard) dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS), jumlah penyokong yang dibenarkan memasuki stadium adalah mengikut fasa.

“Apa yang pasti ia menjadi satu langkah yang baik bagi melonjakkan kembali industri bola sepak negara apatah lagi kita sedang meraikan ulang tahun ke-100 Piala Malaysia,” katanya.

Ab Ghani memberitahu, MFL turut memberi kebenaran kepada kelab untuk menentukan jumlah kemasukan penonton berdasarkan kemampuan mereka dari aspek pengurusan, petugas stadium dan pasukan keselamatan pada hari perlawanan.

Pada bulan lalu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kecuali kanak-kanak di bawah umur 18 tahun, individu yang lengkap divaksin dibenarkan hadir menonton perlawanan sukan serta rekreasi, berkuatkuasa 1 Oktober.

Ismail Sabri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 berkata, kehadiran itu meliputi sebelum, semasa dan selepas acara dengan syarat penonton atau penyokong memakai pelitup muka sepanjang perlawanan serta tiada aktiviti makan dan minum sepanjang berada di stadium.

Sementara itu, Ab Ghani berkata, mana-mana pasukan yang ingin membenarkan penonton hadir ke stadium bagi perlawanan persahabatan sepanjang tempoh saingan Piala Malaysia berehat sehingga 28 Oktober ini perlu memaklumkan kepada MFL terlebih dahulu.

“SOP yang lengkap berkenaan penyokong masuk ke stadium bermula 29 Oktober ini akan diberikan kepada pasukan dalam tempoh terdekat,” tambah beliau.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pegawai polis pinjam RM100,000 beli pangkat superintenden

Kegiatan iklan perkhidmatan seks atas talian tumpas