in ,

ESSCOM kenal pasti tekong darat seludup PATI, rokok, dadah

LAHAD DATU: Pihak berkuasa Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sudah mengenal pasti beberapa individu yang bertindak sebagai tekong darat, dipercayai bergiat aktif dalam aktiviti penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI), rokok dan dadah di perairan Sabah.

Sehubungan itu Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman menasihatkan pihak berkenaan supaya menghentikan aktiviti berkenaan bagi mengelak dikenakan tindakan tegas.

“Tekong darat yang berada di ESSZZONE terutamanya di semua kawasan ‘hotspot’, dinasihatkan supaya menghentikan kerja ini, kita akan mendakwa kepada mana-mana pihak yang ditangkap.

“Saya bagi amaran serius, kita sudah mengenal pasti beberapa individu dalam senarai ESSCOM untuk diambil tindakan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Ahmad Fuad berkata, ESSCOM melalui OP Cegah Pati (OCP) akan sentiasa mempertingkat dan memperketatkan kawalan dan rondaan sama ada melalui laut, darat dan udara terutamanya di kawasan ‘hotspot’.

“ESSCOM akan merangka operasi berdasarkan kepada jumlah aset dan keanggotaan yang ada buat masa ini dengan kerjasama semua agensi keselamatan termasuk Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Pasukan Gerakan Am dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia,” katanya.

Ahmad Fuad turut meminta masyarakat supaya melaporkan segera kepada pusat operasi (PUSOP) ESSCOM ataupun mana-mana ibu pejabat polis yang berhampiran sekiranya mendapati ada aktiviti penyeludupan PATI di kawasan masing-masing.

“Kerjasama dan sokongan masyarakat amatlah dialu-alukan dalam usaha untuk mengekang dan membanteras aktiviti penyeludupan di pantai timur Sabah sama ada penyeludupan PATI mahupun rokok dan syabu,” katanya.

-BERITA HARIAN

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

METMalaysia keluarkan notis Nasihat Taufan Saudel

Anugerah Merit Ibn Khaldun buat petugas barisan hadapan