in ,

Dua usul undi percaya kepada PM tersenarai dalam aturan mesyuarat

KUALA LUMPUR: Parlimen menerima dua usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin untuk dimasukkan dalam aturan mesyuarat Dewan Rakyat yang akan mula bersidang Isnin ini.

Jurucakap Parlimen yang dihubungi mengesahkan 25 usul tidak percaya kepada Perdana Menteri juga diterima, dibawa Ahli Parlimen pembangkang.

“Ya betul. Usul dimasukkan dalam aturan mesyuarat,” katanya ketika diminta mengesahkan beberapa laporan portal media berkenaan usul terbabit.

Ditanya sama ada kedua-dua usul berkenaan akan diberi keutamaan untuk dibentangkan dalam aturan mesyuarat minggu depan, beliau menjelaskan tidak pasti.

Berdasarkan Peraturan Mesyuarat 14 dan 15, usul kerajaan mesti didahulukan untuk dibentangkan di Dewan Rakyat, dengan usul terbabit mesti dibawa seorang menteri.

Portal berita melaporkan, dua usul undi percaya yang menyokong Muhyiddin adalah daripada Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) dan Nik Muhammad Zawawi Salleh (PAS-Pasir Puteh).

Sementara itu, usul tidak percaya dikemukakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad (Bebas-Langkawi) dan empat Ahli Parlimen dari partinya, manakala Parti Warisan Sabah (WARISAN) (tujuh), Parti Amanah Negara (AMANAH) (11), PKR (satu) dan DAP (satu).

Usul tidak percaya yang pertama menurut Aturan Mesyuarat adalah daripada Datuk Amiruddin Hamzah (Bebas-Kubang Pasu) di nombor 18, diikuti usul percaya oleh Muhammad Zawawi.

Pembangkang sebelum ini menggesa supaya usul tidak percaya dibentangkan di Dewan Rakyat minggu depan, sebelum sesi dewan mula memberi tumpuan kepada usul Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 atau Belanjawan 2021 yang akan mula dibentangkan Jumaat depan.

Sebaik RUU berkenaan dibentang, dewan akan memberi tumpuan kepada sesi perbahasan usul berkenaan di peringkat dasar yang bermula 9 November ini, dijadual berlangsung selama dua minggu sebelum sesi penggulungan oleh setiap kementerian. -BERITA HARIAN

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Lantik segera ahli Jawatankuasa PAC – Kah Woh

COVID-19: PBB, Bank Dunia rayu sekolah kekal dibuka – Laporan