in ,

Dua beranak, pekerja di sambung reman cemar Sungai Selangor

SELAYANG: Dua beranak dan enam pekerja termasuk empat warga asing yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian pencemaran bau di Sungai Selangor disambung reman selama enam hari.

Perintah reman yang bermula esok sehingga 3 November itu dikeluarkan Mahkamah Majistret terhadap kesemua suspek berusia antara 28 hingga 66 tahun.

Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan mengeluarkan perintah reman itu mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan, kerana melakukan perbuatan khianat sehingga menyebabkan berlaku pemutusan bekalan air untuk tujuan pertanian, makanan atau minuman kepada manusia dan haiwan atau bagi menjalankan sebarang pengeluaran.

Antara yang ditahan, seorang pengarah syarikat dipercayai sebuah syarikat membaiki dan menjual jentera jentera pembinaan serta anak lelakinya selain dua pekerja tempatan.

Turut direman, empat pekerja warga asing dari Nepal, Pakistan dan Myanmar.

Terdahulu, lapan suspek terbabit tiba di bangunan mahkamah di sini, kira-kira jam 9.30 pagi sebelum urusan pendengaran kes selesai pada jam 10.20 pagi.

Pada 22 Oktober lalu, perintah reman terhadap kelapan-lapan dikeluarkan selama tujuh hari sehingga hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmad berkata, kesemua suspek ditahan kira-kira pukul 11.30 pagi di Rawang, pada 21 Oktober lalu.

18 Oktober lalu, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Sungai Selangor Fasa 2, Sungai Selangor Fasa 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas susulan pencemaran dikesan pada jam 2 pagi.

Susulan itu, lebih 1.1 juta akaun pengguna di 1,292 kawasan sekitar wilayah Kuala Lumpur, Shah Alam/Klang, Kuala Langat, Petaling, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air. -BERITA HARIAN

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Haqiem Rusli beli kereta mewah berharga hampir RM300,000

Waspada tempias taufan Saudel, Molave di Sabah – Maritim Malaysia