in ,

Dolla harap yang terbaik untuk single Impikan

Sejak pelancaran single debut mereka ‘Make You Wanna’ pada Mac lalu, kumpulan Dolla berjaya menggegarkan industri muzik Malaysia dengan konsep lagu, penampilan, nyanyian dan tarian setaraf dengan kumpulan wanita antarabangsa.

Walaupun nama Dolla masih baru dalam industri Malaysia, namun kumpulan yang dianggotai empat gadis cantik ini sudah pun berjaya mengumpul peminatnya sendiri yang menggelarkan diri mereka ‘iDOLLA’.

Baru sahaja beberapa bulan kemunculan mereka, Dolla sudah diberi peluang untuk membawa bakat mereka ke arena antarabangsa apabila terpilih untuk berkolaborasi dengan artis-artis wanita dari seluruh Asia Tenggara dalam menghasilkan lagu ‘Heal’, sebuah projek khas kelolaan Star Music, anak syarikat konglomerat media ABS-CBN yang berpusat di Filipina.

Lagu ‘Heal’ yang baharu saja dilancarkan pada September lalu adalah projek yang pertama seumpamanya dirantau ini, bertujuan menyampaikan rasa cinta dan memacu penyatuan warga rantau ini dalam menghadapi suasana tidak ketentuan dan waktu mencabar akibat pandemik Covid-19.

Bagi meluaskan lagi jangkauan muzik mereka, Dolla bakal melancarkan single kedua mereka berjudul Impikan yang akan dilancarkan serentak di media sosial pada jam 9 malam ini.

Turut dilancarkan bersama lagu Impikan adalah lagu versi Bahasa Inggeris yang diberi judul Watch Me Glow. Lagu ini adalah ciptaan komposer dan penerbit terkenal dari Sweden iaitu Ludwig Lindell, Daniel Caesar, Karl Oscar Gummesson yang turut menulis lirik untuk  WATCH ME GLOW.

Manakala lirik Impikan ditulis oleh penyanyi rap, komposer dan penerbit terkenal Malaysia iaitu Luca Sickta dan YonnyBoii.

Menggunakan khidmat pencipta lagu antarabangsa yang pernah menghasilkan beberapa lagu hits untuk kumpulan K-Pop seperti LOONA, Red Velvet, Girls’ Generation, EXO-CBX, VIXX, Boys Republic dan Pentagon pastinya memberikan rasa teruja buat kumpulan ini.

Mengulas tentang lagu ini, mewakili teman-teman Dolla, Sabronzo berkata, pastinya mereka sangat teruja diberikan lagu daripada komposer dan penerbit antarabangsa yang sebelum ini pernah menghasilkan lagu-lagu hits K-Pop seperti ‘All Night’ nyanyian Girl’s Generation.

Dengan peluang ini ianya sedikit sebanyak memberikan kelebihan kepada kami untuk membawa konsep muzik yang lebih mempunyai citarasa antarabangsa,” katanya.

Kata Sabronzo lagi, mereka berharap lagu ini bukan sahaja mendapat sambutan positif daripada pendengar malah dapat mengukuhkan lagi jenama dan muzik di Malaysia.

“Harapan kami lagu ini membuka ruang dan peluang untuk kami menempa nama di luar negara,” katanya.

Lagu Impikan cuba mengangkat falsafah pantang menyerah kalah. Ia membawa pesanan untuk sentiasa tabah dalam menghadapi liku-liku kehidupan.

 

 

 

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Konsert 4G’s diteruskan Disember ini di Istana Budaya

Neelofa korban kecantikan demi ganjaran berniqab