in ,

Dituduh curi pembesar suara punca lelaki maut dicekik

Ipoh – Polis telah menahan tiga individu termasuk dua beranak setelah disyaki terlibat dalam pergelutan yang membawa kematian seorang lelaki di hadapan warung pasar di Flat Jalan Ashby, di sini pada pagi Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, Muhammad Noor Faqih Mohamed Ariffin, 29, disahkan maut di tempat kejadian dipercayai akibat leher mangsa ‘dikunci’ ketika pergaduhan itu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kejadian itu dipercayai berlaku kerana suspek tidak berpuas hati dengan mangsa yang dituduh mencuri pembesar suara milik salah seorang daripada mereka.

“Salah seorang suspek yang tidak berpuas hati telah menemui mangsa bersama pembesar suara tersebut sebelum tercetus pertengkaran mulut yang kemudiannya membawa kepada pergelutan antara mangsa dengan suspek.

“Leher mangsa telah dicekik dari belakang sebelum dilepaskan. Difahamkan mangsa yang maut mempunyai masalah mental,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya turut merampas sebilah pisau lipat yang ditemui di lokasi kejadian.

“Permohonan reman terhadap ketiga-tiga suspek yang berusia 34, 47 dan 60 tahun itu akan dilakukan bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” tambahnya.

Sementara itu, menurut seorang saksi yang enggan dikenali berkata, mangsa yang juga penduduk setempat sering bersarapan di gerai berkenaan. Walaupun mangsa dikatakan tidak siuman namun dia tidak pernah mengganggu penduduk lain.

“Pagi tadi memang ada lelaki mencari mangsa dan berlaku pertengkaran mulut antara mereka sebelum bergelut.

“Kemudian datang seorang lagi lelaki memaut leher mangsa yang tertiarap. Kami merayu supaya dia dilepaskan tetapi lelaki itu tetap berkeras sehingga pihak polis tiba, katanya.

Written by Ezri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Tindakan Malaysia sekat atlet Israel untuk beraksi disifat sebagai diskriminasi

Mesyuarat Majlis Raja-raja Yang Ke-257 rasmi selesai